Wednesday, June 2, 2010

Buat Apa Sibuk-sibuk Pasal Gaza & Freedom Flotilla?

Hari ini 2 Jun 2010. Sudah dua hari berlalu semenjak tragedi serangan tentera Israel ke atas konvoi Freedom Flotilla. Dunia menzahirkan kemarahan atas tindakan biadab yang dilakukan oleh rejim kejam Zionis. Jalan-jalan raya di Turki dan Indonesia dibanjiri ribuan rakyat yang ingin meluahkan protes terhadap Israel. Rakyat Malaysia dan Australia juga tidak terkecuali daripada turun menunjukkan solidariti terhadap Freedom Flotilla di negara masing-masing. [Sumber: Aljazeera.net]




Tentera Israel menembak peserta-peserta
konvoi dengan peluru hidup selepas berjaya memasuki dek.
Kesemua kapal-kapal kemudiannya dirampas dan dibawa ke pelabuhan Israel.


Antara peserta-peserta konvoi yang ditembak tanpa belas-kasihan


Di sebalik respon-respon dan kemarahan yang disuarakan masyarakat dunia, mungkin masih ada yang tertanya-tanya, mengapa kita perlu menyibukkan diri dengan konflik jauh yang 'tiada kena-mengena' dengan diri kita? Berhadapan dengan persoalan ini sebagai seorang muslim, kita seharusnya sedar bahawa kita dijadikan sebagai khalifah Allah di muka bumi. Firman Allah Ta'ala,


"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat:
Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi"
(Al-Baqarah: 30)


Antara tugas dan tanggungjawab khalifah adalah memenuhi dunia dengan kebaikan; jauh sekali dari mengizinkan dan membenarkan kezaliman bermaharaja-lela. Tegas Rasulullah SAW di dalam hadithnya,


"Barangsiapa di antara kamu melihat suatu kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, jikalau tidak dapat, maka dengan lidahnya, dan jikalau tidak dapat juga, maka dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah iman" (HR Muslim)


Persoalannya sekarang, mana mungkin kita memainkan peranan yang berkesan sebagai ajen keamanan (khalifah) sekiranya tragedi dan kezaliman yang berleluasa di atas muka bumi ini tidak mendapat keprihatinan dan kepedulian kita? Lebih-lebih lagi apabila kebanyakan dari malapetaka ini ditimpakan oleh musuh-musuh Islam terhadap saudara-saudara kita khususnya di Gaza dan terkini, pada mereka-mereka yang menyertai konvoi kapal Freedom Flotilla. Siapakah lagi yang akan membantu mereka dengan bersungguh-sungguh sekiranya tidak saudara seakidah mereka sendiri? Siapakah pula yang hendak mereka harapkan kalau bukan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat seperti mana yang mereka imani? Sabda Rasulullah SAW,



Mafhumnya: dari Abdullah Ibn Umar RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
"Seorang Muslim adalah saudara orang Muslim lainnya. Janganlah ia menganiayanya, jangan pula menyerahkannya (kepada musuhnya). Barangsiapa memberi pertolongan (dalam memenuhi) akan hajat saudaranya, maka Allah akan menolongnya dalam hajatnya; dan barangsiapa memberi kelapangan kepada seorang Muslim dari suatu kesusahan maka Allah akan melapangkan orang itu dari suatu kesusahan dari sekian banyak kesusahan di hari Kiamat; dan barangsiapa menutup aib seorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya pada hari Kiamat."


Hadith ini menyentuh berkenaan hak-hak seorang Muslim yang mesti ditunaikan saudara seIslamnya. Antara yang disebut adalah bagaimana seorang Muslim itu wajib dilindungi dan tidak dibiar ia diapa-apakan oleh mana-mana musuh. Justeru, adakah mungkin kita berpeluk tubuh melihat saudara seIslam sendiri dibunuh dan dicederakan sedang apa yang dikehendaki daripada ukhuwwah seorang Muslim dengan Muslim yang lainnya adalah keteguhan hubungan antara mereka seperti mana teguhnya suatu ikatan nasab kekeluargaan yang diikat dengan kecintaan dan kasih sayang? Mungkinkah kita membiarkan kezaliman menyentuh mereka sedangkan Rasulullah SAW bersabda bahawa iman seorang Muslim itu tidak mungkin sempurna sehinggalah ia menginginkan untuk saudaranya kebaikan apa yang ia ingini untuk dirinya sendiri; serta menjauhkan setiap mudharat yang mungkin berlaku ke atas saudaranya seperti mana hebatnya ia mempertahankan dirinya sendiri?


Kesimpulan
Seorang Muslim dengan saudara-saudaranya itu diumpamakan seperti satu jasad - sakit satu anggota, seluruh tubuh ikut derita sehingga tidak mampu tidur malam. Sekiranya setiap dari kita mampu peka dan sangat menjaga anggota tubuh masing-masing dari sebarang kecelakaan, maka seharusnya begitu jugalah hebatnya kita dalam mempertahankan dan menjaga saudara-saudara seIslam kita yang dianggap syara' seperti sebahagian dari jasad kita. Sama-samalah renungi hari ini, sudahkah kita sempurnakan tuntutan-tuntutan ukhuwwah, dan sudahkah amanah membela hak-hak saudara seIslam itu selamat dilaksanakan dalam tangan-tangan kita? Setiap tindakan kita pasti akan dipersoalkan di hari pengadilan kelak. Semoga setiap dari kita mampu menjawab bahawa kita sudah lakukan segala apa yang terdaya untuk membantu saudara-saudara kita di hadapan Allah nantinya.. Ameen!

4 comments:

  1. ia tidak bermula 31 mei!
    dan iakan tetap berterusan sehingga kemenangan dikurniakan pada kita.
    teruskan berdoa dan berusaha semampu kita.
    sesungguhnya, banyak sebenarnya disekeliling kita hasil dr 'tarbiah' mereka. jangan kita dibutakan oleh 'ajaran2' mereka.
    doa dalam hati, ya Allah berikanlah kekuatan kepada mereka yg berjuang di jalanMU.
    Allahu Akbar!

    ReplyDelete
  2. kalau nak lakukan sesuatu, BENAR-BENARlah lakukan. Kalau nak perangi Zionis, pertama sekali buang semua pengaruh Zionis dalam hidup kita.
    -kelalaian itu musibah-

    1. Kuatkan iman & Taqwa

    2. Tingkatkan sensitiviti terhadap isu-isu ummah. i.e. ikuti perkembangan yang berlaku menerusi sumber2 yang dipercayai. Sokong & hadiri program-program berkaitan.

    3. Sebarkan maklumat tentang apa yang berlaku seLUAS-LUASnya. Gunakan semua medium yang ada - twitter, facebook, email dll.

    4. Doa, doa dan doa.

    5. Boikot produk2 & syarikat pro-zionis. Empat yang utama & disepakati adalah: L'Oreal, Coca-Cola, Nestle & McDonalds. jenama lain boleh dirujuk di sini:
    http://inminds.co.uk/boycott-brands.html

    ReplyDelete
  3. baik sibuk dengan isu Palestin daripada sibuk dengan Piala Dunia.

    buka mata, buka hati.
    we are being attacked indirectly.

    boikot barangan Zionis!
    kita semarakkan penggunaan barangan buatan Muslim pula.

    wallahua'lam

    teruskan berdoa utk Palestina dan pejuang2 LL4G

    ReplyDelete
  4. semoga terbuka segala mata mata yang selama ini terlena.

    semoga terbuka hati hati yang selama ini tertutup.

    semoga terbuka minda minda yang selama ini terlalu kolot.

    sememangnya, palestine menyatu padukan ummah.

    ps: the glass is half full. definitely.! :)

    ReplyDelete