Tuesday, June 29, 2010

MISI '10: Slot LL4G Siri 2

Berdasarkan tiga objektif yang telah dinyatakan dalam siri 1 slot LL4G sebelum ini, IHH telah mengajak seluruh penduduk dunia untuk sama-sama bergabung dalam usaha menamatkan penderitaan Gaza yang berada dalam cengkaman rejim Zionis. Berlepasnya konvoi Freedom Flotilla dari pelabuhan Istanbul menuju ke penjara terbesar dunia itu pada tarikh 22 Mei 2010 telah diiringi dengan laungan takbir dan tembakan doa.


Seperti biasa, siri-siri ujian Allah tetap datang menguji keikhlasan dan kesabaran para pejuang di jalanNya. Bukan mudah untuk 'tinggal' di atas kapal - ada di kalangan sukarelawan yang mabuk laut, dan majoritinya merasakan kepenatan yang bukan sedikit sepanjang perjalanan. Terkadang, ujian dalam bentuk teknikal pula datang apabila kapal terpaksa berhenti bergerak di tengah-tengah lautan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Terapung di laut lepas berjam-jam lamanya, penantian sememangnya satu penyiksaan. Apatah lagi destinasi tujuan ialah tanah syuhada', dan yang bakal ditemui ialah saudara-saudara seakidah yang telah puluhan tahun bermandi darah demi mempertahankan bumi ummah Palestin bagi pihak kita.


Ust Hasanuddin menyampaikan perkongsiannya yang berharga


Meskipun diasak dengan pelbagai jenis ujian, para relawan tetap berazam teguh untuk menjejakkan kaki ke Gaza tanpa menghiraukan sebarang kemungkinan diserang musuh. Ketenangan menyelubungi suasana atas dek-dek kapal Mavi Marmara apabila saban hari, amal ibadah dilipat-gandakan- para relawan Muslim telah berpeluang untuk sama-sama melaksanakan Siyam (puasa) dan Qiyam (tahajjud) tanpa jemu. Selain solat berjemaah, siri-siri tazkeerah dan halaqah juga turut mewarnai sejarah perjalanan mereka ke Gaza. Peluang beribadah dan berukhuwwah dengan saudara-saudara seislam dari pelbagai warna kulit, negara dan latar-belakang juga tidak disia-siakan. Uniknya di atas kapal itu, anda boleh menemui semua jenis manusia - yang non-muslim dari kalangan nasrani sehinggalah yang berfahaman atheis; yang muslim dari mazhab yang empat sehinggalah aliran sufi, tarekat, salafi dan lain-lain - semuanya berkumpul atas tujuan yang sama, iaitu membebaskan Gaza dari cengkaman kezaliman rejim Zionis.



 
 Solat, tilawah dan ukhuwwah - Tiga tunjang kekuatan ummah


Menghampiri Gaza, debaran di hati para peserta konvoi semakin hebat. Bagi para sukarelawan muslim, ibadah diperbanyak dan amal diperhebat. Doa-doa dan istighfar dipanjatkan. Masing-masing redha dengan segala kemungkinan yang mungkin terjadi; sehingga akhirnya ketentuan Allah itu pun berlaku - pagi 31 Mei 2010, lebih kurang jam 4.30 am, kapal Mavi Marmara yang mengetuai konvoi Freedom Flotilla diserang sewaktu ia masih berlayar di perairan antarabangsa, 75 batu nautika jauhnya dari Gaza.


Tentera-tentera Israel menyerbu kapal Mavi Marmara dari laut dan udara - kesemua mereka memakai topeng dan sut pelindung, dengan kelengkapan persenjataan penuh di seluruh badan, seolah-olah yang mereka hadapi adalah suatu batalion perang yang hebat. Tidak cukup dengan 'gimik' yang menakutkan itu, mereka mula menembak para penumpang di atas kapal dari kalangan orang awam yang tidak bersenjata. Aksi-aksi ganas itu berakhir dengan kesyahidan 9 orang rakyat Turki dan kecedaraan 50 orang sukarelawan dari pelbagai latar-belakang, seperti mana yang ditunjukkan dalam laman flickr IHH.


Korban termuda kekejaman rejim Zionis ini ialah Asy-Syahid Furkan Dogan yang baru berusia 19 tahun. Beliau telah ditembak berkali-kali dari jarak dekat (lebih kurang 45 cm). Manakala antara yang cedera parah ialah saudara-saudara serantau kita dari Indonesia di mana salah seorang pecah tulang pinggangnya dan seorang lagi mempunyai lebih dari 15 serpihan peluru di paru-paru yang mesti dikeluarkan menerusi pembedahan.

Tamat operasi pembunuhan sepertimana yang telah dirancang sejak awal lagi, pihak rejim Zionis mula sibuk memutar-belitkan fakta dan menyebarkan maklumat-maklumat palsu di internet. Kapal-kapal yang mengikuti konvoi Freedom Flotilla pula dirampas dan dibawa ke salah sebuah pelabuhan di Israel. Dalam perjalanan ke sana, tangan para sukarelawan yang ditawan telah diikat ketat. Selain dipersendakan dan dipijak beramai-ramai, ada juga di kalangan mereka yang ditendang mukanya berkali-kali kerana 'melawan'. 36 jam yang dilalui seterusnya dalam perjalanan ke tanah jajahan Israel tanpa makanan dan minuman cukup menyeksakan para tawanan.


Menurut Ust Hasanuddin yang turut merasai sendiri pengalaman dipijak beramai-ramai dengan but berat tentera Israel, pada saat itu dengan kefahaman bahawa proses pemijakan dan kesakitan yang dirasai semuanya adalah ketentuan Allah dan hanya berlaku dengan izin Allah, beliau merasakan kemanisan perhubungan antara hamba dan khaliq, dengan membayangkan kehadiran Allah dan betapa dekatnya Dia dengan para hambaNya - Sungguh, Allah Maha Melihat apa yang sedang berlaku saat itu, Allah Maha Tahu apa yang terjadi pada detik itu dan Allah Maha Mendengar segala rintihan hamba-hambaNya. Hanya dengan penghayatan akan sifat-sifat Allah yang tiga inilah, nescaya kita akan mampu berasa malu pada Allah lantaran menyedari betapa dekatnya Dia dengan urusan hamba-hambaNya.


Ust Hasanuddin juga menyebut bahawa segala yang terjadi ke atas Freedom Flotilla pada detik tersebut ada hikmah yang tersendiri kerana sekiranya para sukarelawan berjaya masuk ke Gaza tanpa sebarang kejadian tidak diingini, senario dunia hari ini mungkin berbeza. Tragedi yang disengajakan ke atas Freedom Flotilla itu ternyata mempunyai impak yang besar - dunia bangkit berdemonstrasi. Ribuan turun ke jalan raya. Tekanan demi tekanan ditujukan ke atas Israel dan rakan baiknya Amerika. Kecaman demi kecaman dilontarkan para pemimpin dan ahli politik dunia.


Akhirnya Israel terpaksa tunduk. Mereka harus berfikir cara untuk meredakan kemarahan majoriti. Yang pasti, meskipun Gaza masih akan cuba dilumpuhkan, para sukarelawan mesti dibebaskan dengan siri-siri lakonan untuk menunjukkan 'kebaikan' Israel. Kewujudan wakil-wakil media di pelabuhan Israel menyebabkan layanan kepada para sukarelawan bertukar 360 darjah dari layanan yang diterima di atas kapal - mereka 'dipersilakan' masuk ke penjara-penjara serba 'selesa' dengan 'penuh terhormat'. Katil, cermin, tilam, dan kelengkapan dalam penjara semuanya masih berbalut seperti ia baru sahaja dibeli khusus untuk para sukarelawan. Hal ini jelas berbeza daripada realiti layanan dan 'standard' penjara yang dihuni oleh rakyat Palestin sejak sekian lama. Tekanan antarabangsa yang berterusan juga menyaksikan para sukarelawan kemudiannya dihantar pulang secara berperingkat dalam tempoh yang singkat. 


Kepulangan 12 orang sukarelawan Malaysia termasuk Ust Hasanuddin ke negara ini disambut dengan liputan media besar-besaran. Meskipun gagal dalam misi memecahkan kepungan di Gaza, nampaknya Freedom Flotilla telah berjaya melonjakkan isu Palestin di tanah air kita dan dunia seluruhnya. Hari ini, simpati yang tinggi menyebabkan orang sudi mendengar ceramah-ceramah berkenaan Palestin. Kempen-kempen isu pembebasan Palestin juga semakin mendapat sambutan. Sambil menegaskan situasi yang memberi kelebihan kepada para du'at ini, Ust Hasanuddin menyimpulkan perkongsiannya pada malam itu dengan melontarkan amanat-amanat yang ringkas tetapi mendalam maksudnya:


"Selepas apa yang terjadi ke atas Mavi Marmara, bola sudah naik tinggi. Sekarang peranan dan tugas antumlah untuk memastikan bahawa momentum ini terus kekal."

"Semua orang mesti terlibat, semua orang berhak dan mesti bercakap tentang isu ini  Sekarang tidak ada lagi alasan untuk tidak bercakap tentang Palestin. Ambillah kesempatan untuk mejulang da'wah melaluinya di mana-mana sahaja, pada bila-bila masa. Modalnya, air liur (cakap) atau tulis sahaja di akhbar-akbar, di majalah dan sebagainya. Sekiranya kita masih tidak mahu bersuara,
kita berdosa kepada Allah SWT."


Ust Hasanuddin bergambar bersama generasi muda yang
diharap mampu memegang amanah mengembalikan kegemilangan Islam.


Kredit foto: Album Grup Facebook MISI '10 &

4 comments:

  1. Masyaallah, ni semua adalah pemuda-pemuda harapan agama ni..

    >Hidup Mulia atau Mati Syahid<

    ReplyDelete
  2. Bola vs Isu Palestin? Jom jadikan bola sebagai alat untuk bercakap tentang Palestin!

    ReplyDelete
  3. perkongsian yang sangat mantap!

    ana rasa perkongsian ini lebih dari apa yang telah dikongsikan oleh ust hasanuddin sendiri.

    nampaknya penulis telah banyak membuat kajian dan sememangnya mengikuti sejarah dan perkembangan palestine.

    masyallah.. moga kita semua terus diberi kesempatan oleh Allah untuk memperjuangkan agama-Nya seperti saudara saudara kita di Palestine.

    p.s : menarik. macam mana nak jadikan isu bola sebagai alat untuk bercakap tentang isu palestine?

    ReplyDelete
  4. di tahap manakah momentum ini skrg?

    ReplyDelete