Monday, June 21, 2010

Laporan: Majlis Pelancaran IKRAM


Majlis Pelancaran IKRAM
Ahad, 20 Jun 2010
Malaysia International Exhibition and Convention Centre




Mutakhir ini, seluruh alam menyaksikan kebangkitan Islam yang semakin bersemarak dengan dokongan hebat aktivis-aktivis dan gerakan-gerakan da'wah dari seluruh dunia. Alhamdulillah, negara kita Malaysia juga turut tidak ketinggalan dari menyumbang kepada perkembangan positif ini. 20 Jun 2010, persada da'wah tanah air menerima satu lagi lonjakan fasa dan momentum yang bertenaga apabila IKRAM selamat dilancarkan dengan jayanya di Malaysia International Exhibition and Convention Center (MIEC) Seri Kembangan.




Dibanjiri dengan lebih dari 5300 orang hadirin di dewan utama, majlis pelancaran ini telah mengumpulkan sebahagian ahli-ahli IKRAM dari segenap lapisan usia di seluruh negara. Menariknya, golongan muda yang hadir tidak kurang banyaknya dengan bilangan 'senior-senior' angkatan da'wah dalam majlis tersebut. Insyaallah, kita berharap dan berdoa agar ini merupakan suatu petanda bahawa perjalanan da'wah di bumi Malaysia akan terus subur dengan gandingan mantap tenaga rijaal dan hikmah kebijaksanaan golongan syuyukh.

Berikut adalah laporan ringkas perjalanan Majlis Pelancaran IKRAM dari kaca mata unit media KARISMA Daerah Gombak:


+9.00 am
Majlis Pelancaran IKRAM dimulakan dengan bacaan doa, tilawah, dan seterusnya ucaptama oleh Presiden IKRAM iaitu Ust Dr. Mohd Parid Sheikh Ahmad. Dalam ucaptama tersebut, Dr. Parid menegaskan bahawa sebagai umat Islam, kita semua mempunyai tanggungjawab untuk menegakkan kebaikan dan kebenaran serta membasmi kerosakan dan kebatilan. Penubuhan IKRAM pula dilihat sebagai suatu usaha untuk mendepani keperluan perjuangan Islam yang semakin mencabar dari hari ke hari. IKRAM wujud untuk memenangkan agenda ummah dan Islam, selain membuat perubahan dan pembaharuan yang bermakna untuk deen yang tercinta. Untuk itu, ahli-ahli IKRAM diseru agar sentiasa mempersiapkan diri dengan ketaatan kepada Allah, keyakinan jiwa dan kemantapan iman selain melipat-gandakan kupayaan, kepakaran, kebijaksanaan, dan kerja keras demi merealisasikan yang haqq.


+10.30 am
Presiden IKRAM selesai memberi ucaptama. Majlis seterusnya menjemput tuan Presiden diiringi Prof Dr Mohd Hatta Shahrom selaku Timbalan presiden IKRAM untuk melancarkan montaj multimedia sekaligus merasmikan pelancaran IKRAM di peringkat nasional. Hadirin seterusnya berehat selama lebih kurang satu jam sementara sesi soal-jawab antara pimpinan IKRAM dan wakil-wakil media berlangsung.


+11.45 am
Majlis dimulakan kembali selepas selesai kudapan pagi dengan sebuah tazkeerah yang telah disampaikan oleh ahli Lembaga Timbangtara IKRAM, Ust Alias Othman. Antara lainnya Ust Alias telah menyeru sekalian ahli untuk bersungguh-sungguh dalam usaha penegakan Islam di negara kita. Hal ini kerana, Islam adalah satu-satunya cara hidup yang lengkap dan sempurna yang telah Allah turunkan khas untuk sekalian manusia dan segenap alam raya. Seiring dgn itu, syariat Islam tidak akan pernah menzalimi suatu apa pun yang bernaung di bawahnya. Maka seharusnya, perjuangan menghidupkan syariat yang merupakan rahmat kepada seluruh alam inilah yang menjadikan segala pengorbanan dirasakan murah dan mudah oleh para du'at yang ikhlas bekerja untuk Allah. Keikhlasan dalam perjuangan ini merupakan perisai buat para du'at agar tidak dihinggapi penyakit-penyakit dalaman yang boleh merosakkan hatta golongan yang dilihat hebat dalam bidang da'wah dan tarbiyyah. Semoga Allah melindungi kita semua.

+12.25 pm
Pengerusi Aqsa Syarif, Ust Hasanuddin Mohd Yunus dan wakil dari Unit Perhubungan Aqsa Syarif Cawangan Wilayah Persekutuan dijemput naik ke pentas untuk memberikan ucapan. Dalam ucapan singkatnya, Ust Hasanudin menekankan hakikat bahawa NGO sebenarnya mempunyai kekuatan yang tidak sedikit dalam memberi kesan dan pengaruh terhadap negara dan masyarakat. Justeru, kekuatan NGO-NGO ini perlulah digunakan dengan betul agar berperanan menghasilkan yang terbaik untuk negara dan ummah seluruhnya. Ucapan dari wakil Unit Perhubungan Aqsa Syarif WP pula diikuti oleh suatu persembahan multimedia dalam usaha mempromosikan Palestine Campaign inisiatif Aqsa Syarif WP. Selain wakil Aqsa syarif, turut memberikan ucapan ialah Dr. Ahmad Zainuddin Abdullah selaku Naib Pengerusi Koperasi Islah Malaysia Berhad (KIMB). Dr. Ahmad telah menyeru para ahli agar menyertai sekaligus menyokong skim-skim anjuran KIMB yang bukan sahaja mampu menjaga kebajikan mereka, tetapi juga bakal menyumbang manfaat kewangan untuk da'wah dan jamaah, insyaAllah.

+12.40 pm

Majlis diteruskan dengan sesi penerangan ringkas oleh Pengerusi Jawatankuasa Khas Media dan Penerbitan, Prof Dr Mohd Hatta Shahrom. Penerangan beliau berkisar mengenai buku cenderamata, video Ufuk Kegemilangan dan nasyid jemaah yang telah dihasilkan bersempena dengan pelancaran IKRAM. Sesi ini diakhiri dengan persembahan dua buah nasyid Jemaah bertajuk 'IKRAM' dan 'Allahu Ghayatuna' oleh kumpulan nasyid Saff-One.

+1.00 pm
Tayangan Video Ufuk Kegemilangan - Video ini menceritakan mengenai sejarah penubuhan Jamaah yang bermula dari kepulangan para graduan merangkap aktivis-aktivis da'wah dari universiti-universiti di New Zealand, Australia, UK, US, Mesir dan negara-negara lain pada tahun 80-an. Mahasiswa-mahasiswi Jamaah ini mula mengambil inisiatif mengerakkan da'wah di lokaliti masing-masing di seluruh negara sebelum mula berkumpul di bawah sebuah wadah yang ditubuhkan pada tahun 1990 iaitu Jamaah Islah Malaysia (JIM). Menurut Mantan Presiden JIM, kewujudan JIM bukanlah untuk bersaing dengan wadah-wadah Islam lain yang sedia ada tetapi hanyalah bertujuan untuk menggembleng kekuatan dan tenaga ummah serta melakukan usaha-usaha melebarkan da'wah. Alhamdulillah, setelah beroperasi lebih dari 2 dekad dan melalui teraju kepimpinan 3 orang Presiden, JIM sebagai sebuah NGO telah berkembang hebat dan banyak menyantuni masyarakat melalui pelbagai institusi-institusi di bawahnya yang mula dikenali ramai bukan sahaja di peringkat Nasional tetapi juga di luar negara. Antara institusi-institusi tersebut ialah PACE, Hidayah Center dan Raudhatus Sakinah. Selain itu, JIM turut mempunyai sayap wanita (Wanita JIM), Belia, Mahasiswa (KARISMA) dan Remaja Sekolah (KRJ).

Kini, sejarah baru tercipta apabila JIM dan empat lagi NGO di bawah Jamaah (MIGSB, MUSLEH, AUSIS & Aqsa Syarif) telah secara rasminya bergabung di bawah sebuah wadah induk bernama IKRAM yang diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 22 Oktober 2009. Terkini, majlis pelancaran yang diadakan pada 20 Jun 2010 merupakan kemuncak pemahsyuran IKRAM kepada umum. Semoga dengan kewujudan IKRAM ini akan menyebar-luaskan lagi da'wah, kebajikan dan tarbiyyah yang merupakan dasar-dasar IKRAM kepada seluruh masyarakat di Malaysia khususnya dan masyarakat dunia umumnya. Segalanya akan terus kita lakukan untuk Islam, insyaallah.

+1.20 pm

Selesai tayangan video, barisan Ahli Jawatankuasa Pusat IKRAM telah diperkenalkan kepada umum. Mereka terdiri dari gabungan aktivis-aktivis da'wah dan tarbiyyah dari pelbagai latar belakang dan profesionalisme. Semoga semuanya terus diberi kekuatan untuk merancakkan lagi gerak kerja da'wah di persada tanah air. Ameen!


+1.40 pm
Majlis berakhir dengan rasminya selepas bacaan doa oleh Ust Sayuti Ramli dan para hadirin mula bersurai.


KARISMA Daerah Gombak merakamkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah di atas pelancaran IKRAM. Sesungguhnya segala kekuatan itu milik Allah. Semoga rahmat dan keberkatan-Nya sentiasa memayungi perjalanan ini! Ameen.

6 comments:

  1. Laporan yang hebat, lengkap menceritakan segala aktiviti yang berlaku sepanjang berlangsung hari bersejarah untuk Jamaah! (mungkin boleh ditambah lagi dalam laporan tentang kehadiran dif-dif terhormat seperti Syeikhul Munthalaq (Muhammad Ahmad al-Rashid, dan lain-lain lagi)

    Tahniah juga kepada ahli Karisma Daerah Gombak yang berjaya menghadiri ke majlis tersebut, kitalah sebahagian dari rijal-rijal yang akan membawa Islam kembali ke tempatnya!



    p/s: Terlepas melihat slot Video Ufuk Kegemilangan kerana terpaksa keluar awal dari majlis atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan....

    ReplyDelete
  2. salam...
    alhamdulillah...
    IKRAM dah melakar sejarah baru dalam dunia dakwah...
    kapal selam dah timbul...
    tunggu apa lagi? ayuh sama2 mantapkan perjalanan dakwah kita!!

    ReplyDelete
  3. Marwan: tentang kehadiran dif-dif kehormat, mungkin enta atau kawan-kawan lain boleh tambah dan senaraikan. Ana tak perasan fakta tersebut kerana turut terlibat dalam beberapa urusan lain selain mencatat isi laporan semasa majlis berlangsung. 'Afwan.

    Syuhada: suka bila IKRAM diumpamakan sebagai sebuah kapal selam! :)

    Nadhirah: ..walillahilhamd!

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah. Sememangnya pena fm jarang mengecewakan. inilah kelebihan yg Allah beri padanya,langsung digunakan utk menyumbang dlm da'wah islam.

    ya,shu..bgus juga analogi tu. lau dulu underground kan,seolah kpl selamlah di dlm laut je..tp bergerak, i'Allah slps ini tiada lagi alasan mereka yg di luar sana yg takut kena tgkp sbb prgerakan 'underground'. stelah rasminya IKRAM maka kapal selam tadi telahpun timbul dan sentiasa trbuka utk sesiapa shja yg mahu menaikinya utk mmperjuangkan kbenaran!

    i'Allah,mga Allah sentiasa memberi kekuatan kpd kita. Perjuangan ini pasti akn brhdpan dgn mehnah, mgkn ap2 dugaan yg melnda aktivis da'wah di mesir umpamanya, mgkn juga ianya akn menimpa kita di sini. brdoa sgt moga Allah tetapkan iman kita walau brhdpn dgn situasi demikian.
    kena sntiasa brdoa mhon kekuatan krn blum tentu jika kita hebat skrg,kita mmpu utk brthn bila diuji nanti.

    ya Allah berikan kekuatan kpd kami utk meneruskan perjuangan ini. kurniakan kami hati yg benar2 ikhlas berjuang hanya kerana Engkau,ya Allah...aminn ya rabbal 'alamin...

    ReplyDelete
  5. Adeh, ana pun tak lah ingat dan tahu semua dif-dif terhormat tu, (kalau Prof Hatta x sebut nama syeikhul Muntalaq masa majlis, memang x taw pun) boleh cuba cek di net, Pak Cik Nahar ada emelkan gambar-gambar tetamu kehormat berkenaan, fakta tersebut sekadar untuk menunjukkan kemeriahan hari yang bersejarah ini....

    ReplyDelete