Monday, June 28, 2010

MISI '10: Slot LL4G Siri 1

Slot LL4G atau Lifeline 4 Gaza merupakan salah satu slot MISI '10 yang paling menarik. Jemputan khas untuk slot ini ialah Ust Hasanuddin Mohd Yunus dari Aqsa Syarif. Ust Hasanuddin merupakan salah seorang sukarelawan dalam konvoi Freedom Flotilla ke Gaza. Menaiki kapal Mavi Marmara dengan 11 orang rakyat Malaysia yang lain, kepulangan Ust Hasanuddin dan rakan-rakan ke Malaysia pada 6 Jun yang lalu (setelah melalui pengalaman menjadi tahanan Israel) disambut dengan siri-siri ceramah dan program-program pembebasan Palestina di seluruh negara.

Alhamdulillah, peserta MISI kali ini sangat bertuah kerana berpeluang mendengar sendiri perkongsian dari Ust Hasanuddin dalam majlis yang turut dihadiri aktivis-aktivis da'wah tanah air di sekitar Lembah Klang. Sesi perkongsian yang berlangsung pada 14 Jun '10 ini walaupun terasa singkat namun telah berjaya meniupkan semangat ke dalam jiwa-jiwa muda peserta MISI '10. Hal ini kerana pengisian yang diberikan bukan hanya sekadar suatu perkongsian pengalaman, tetapi turut terkandung di dalamnya mutiara-mutiara da'wah untuk para du'at ilallah. Jadi, ayuh kita ikuti serba-sedikit coretan yang mampu dikongsikan bersama dengan para pembaca blog KDG; mudah-mudahan bermanfaat untuk semua.

Sebahagian hadirin Ikhwah.

Antara pengisian awal yang diberikan oleh Ust Hasanuddin adalah berkenaan ayat 108 dari surah Yusuf yang berbunyi: 

"Katakanlah (wahai Muhammad): Inilah jalanku, menyeru manusia kepada Allah,
berdasarkan keterangan dan bukti yang nyata. aku dan orang-orang yang menurutiku," 

Berdasarkan ayat di atas, perintah Allah iaitu: "Katakanlah [wahai Muhammad] inilah jalanku, menyeru manusia kepada Allah" ini jelas menunjukkan bahawa satu-satunya jalan yang mesti menjadi pilihan kita ialah jalan yang mengajak manusia kepada Allah. Mengupas maksud ayat, Ust Hasanuddin menegaskan bahawa "Seorang mu'min itu jiwanya mesti jiwa seorang pendakwah, sentiasa mahu mengajak manusia kepada Islam". 

Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa realisasi ayat ini boleh direfleksi dari semangat perjuangan Ust Hasanuddin dan rakan-rakan sendiri - kami difahamkan bahawa selepas dihantar pulang ke tanah air semenjak tragedi yang menimpa kapal Mavi Marmara sehinggalah ke detik perkongsian di MISI '10, Ust Hasanuddin masih belum berkesempatan untuk pulang ke rumahnya di Johor Bharu. Sebaliknya, ustaz dan rakan-rakan sukarelawan Malaysia yang lain sibuk menapaki siri-siri ceramah dan kempen di seluruh negara rentetan dari peristiwa serangan kapal Mavi Marmara yang sedang hangat dibicarakan. Selain itu, pertubuhan Aqsa Syarif yang dipengerusikan oleh ustaz Hasanuddin (di peringkat Nasional) juga semakin rancak bergerak dengan mengetengahkan isu-isu Palestin demi menghadirkan kesedaran kepada seluruh lapisan masyarakat. Aqsa Syarif, yang kini mempunyai 72 buah cawangan di seluruh negara ternyata merupakan manifestasi penyusunan da'wah ummah melalui perjuangan Palestin. Ayuh sama-sama kita doakan!

Berbalik kepada ayat 108 dari surah Yusuf tadi, bahagian "aku dan orang-orang yang menurutiku" merupakan suatu petanda akan kepentingan dan perlunya para du'at melaksanakan amal jama'ie. Dalam erti kata lain, adalah perlu untuk kita bergerak di dalam suatu jamaah dalam usaha-usaha menyampaikan da'wah agar mesej kebenaran itu mampu menembusi masyarakat secara berorganisasi, terancang dan tersusun. Berda'wah secara berjamaah juga merupakan suatu tuntutan dan mempunyai banyak kelebihan berbanding bergerak atas kapasiti individu. 

Seterusnya, menyentuh berkenaan pengalaman di atas kapal Mavi Marmara, Ust Hasanuddin bermula dengan menegaskan bahawa dalam hati seorang muslim itu wajib ada rasa benci terhadap musuh-musuh Allah. Sesungguhnya Allah SWT ingin menguji kita dengan mereka. Bukanlah luka-luka yang dialami ummah ini melainkan ada hikmah dan pengajaran yang sangat besar di sebalik setiap yang berlaku. Dan bukanlah kejatuhan yang dideritai ummah saat ini harus menjadikan kita putus asa dan berhenti dari melakukan apa-apa. Pemergian kapal Mavi Marmara ke Gaza sebagai contoh, adalah satu usaha yang telah membuka mata dunia sewaktu ramai melihat Gaza sudah kematian harapan akibat sekatan-sekatan yang dikenakan oleh rejim Zionis. Setelah bumi itu telah dihancurkan sehancur-hancurnya dan dirosakkan serosak-rosaknya, inilah dia perancangan Allah untuk ummah. Sesungguhnya Allah tidak pernah meninggalkan saudara-saudara kita di sana walau satu saat pun. 

Mengimbas kembali sejarah, selepas serangan besar-besaran Israel ke atas Jalur Gaza bermula 27 Disember 2008 sehingga 18 Januari 2009, Jalur Gaza yang telah kehilangan lebih dari seribu warganya telah menyaksikan kemusnahan bangunan dan infrastruktur yang dahsyat. Banyak rumah-rumah dan harta benda yang musnah yang menyebabkan ramai di antara rakyat Palestin di Gaza terpaksa menetap di khemah-khemah sementara. Keadaan tambah buruk apabila sekatan-sekatan ke atas Jalur Gaza semakin diperketatkan sehingga bahan-bahan untuk pembinaan semula Gaza seperti simen dan konkrit dihalang dari dibawa masuk. Akibatnya, tidak ada perubahan yang nyata ke atas Gaza walaupun perang sudah lama berakhir. Rakyat Gaza semakin derita - bukan sahaja sebahagian dari mereka masih menetap di khemah-khemah yang tidak kondusif untuk kehidupan, malah bahan asas seperti ubat-ubatan dan makanan juga amat sukar untuk didapati. Kedatangan kapal Mavi Marmara adalah untuk merubah semua ini. Terdapat 3 objektif yang telah digariskan oleh Insani Yardim Vakfi atau IHH selaku pengajur utama Freedom Flotilla yang diketuai oleh Mavi Marmara, iaitu :

1. Membawa bekalan makanan, ubat-ubatan, pendidikan, bahan-bahan untuk pembinaan hospital, sekolah-sekolah dan bangunan agar kemasukan bantuan-bantuan ini dapat benar-benar merubah keadaan yang dideritai warga Gaza.

2. Memecahkan dan merobohkan pemulauan yang telah berlangsung sejak sekian lama ke atas Gaza (dengan harapan agar kejayaan membawa masuk bantuan kemanusiaan ke sana akan menjadi titik-tolak kepada hadirnya lebih banyak bantuan dunia ke Gaza)

3. Mencelikkan mata dunia terhadap isu Palestin.

..dan para relawan IHH telah dengan teguh mempertahankan dan bermati-matian berusaha menggapai ketiga-tiga objektif di atas dengan tubuh badan mereka sendiri. Buktinya, IHH telah 'menyumbangkan' seramai 9 orang syuhada dari kalangan rakyat Turki. Allahu Akbar!!


...Lagi perkongsian dari Ust Hasanuddin - bakal menyusul dalam siri ke-2 slot LL4G insyaallah!

Kredit Gambar: Album dari Grup Facebook MISI '10

5 comments:

  1. "Bir Ruh, Bid Dam, Labaika Ya Aqsa!"

    Allahuakhbar..!!

    ReplyDelete
  2. Slot ini pun terlepas juga, kerana ada SAMPEL di UIA PJ, sayang tapi itulah pengorbanan, dapat baca perkongsian di blog pun dah terubat dah....

    ReplyDelete
  3. Sukacitanya ana nak terjemahkan maksud di atas:

    "Dengan Jiwa, Dengan Darah, Kami datang Wahai al-Aqsa terchinta"

    Takbir..!!

    ReplyDelete
  4. Teringat pula artikel yg dibaca pasca pelepasan Mavi Marmara menuju ke Gaza - Bila President IHH ditanya oleh wartawan samada mereka mempunyai sebarang 'backup plan' sekiranya misi konvoi itu cuba digagalkan oleh Israel, beliau menjawab:
    "Pelan A kita ialah masuk ke Gaza. Pelan B kita ialah masuk ke Gaza. Pelan C kita ialah masuk ke Gaza." Allahu Akbar!

    -I envy their courage and determination. Mcm ni la baru semangat rijaal-

    p.s. teringat pula dlm salah satu slot MISI '10 ada disebut ttg impian Saydina Umar Al-Khattab: "Aku impikan dunia ini dipenuhi rijaal seperti muaz b.jabal, abu ubaidah al-jarrah & salim hamba huzaifah.."

    siapakah mereka bertiga yg khalifah Umar sebutkan ini? itu homework utk kita semua!

    ReplyDelete
  5. ana rasa, dengan hanya membaca perkongsian yang ditulis oleh penulis blog pon dah cukup untuk memberi rasa pada pembaca pembaca yang tidak sempat menghadirkan diri ke slot ini.

    sememangnya, aura yang diberikan dan ruh yang ditiupkan kepada rijal rijal pada malam itu sangat luar biasa.

    isu palestine. jika kita lihat. sangat banyak ibrah yang boleh dipelajari.

    membuka mata dunia. menyatu padukan ummah. mengukuhkan persaudaraan. menguatkan ruh.

    sesugghnya tarbiyah allah itu sangat luar biasa. Allahu akbar! :)

    ReplyDelete