Tuesday, August 23, 2011

Karya SEEK 1432H: Tika Ramadhan Itu [Bahagian 3]

(sambungan Bahagian 2...)

Tidak disangka tumbukan tersebut telah menyebabkan mulut lelaki tersebut berdarah dan pengsan. Haziqah dipanggil menghadap pengetua sekolah dan guru disiplin iaitu Cikgu Harith. Pengetua sekolah sangat marah terhadap apa yang Haziqah lakukan dan katanya Haziqah sepatutnya terima teguran itu demi kebaikan dirinya. Tegurnya, sampai bila Haziqah mesti berkelakuan begini memandangkan usia Haziqah pun semakin meningkat. Tak kan tidak mahu berubah dan macam-macam lagilah leteran yang dia dapat daripada pengetua. Cikgu Harith hanya mendiamkan diri, dia tahu Haziqah tidak akan bertindak sedemikian andai teguran itu disampaikan dengan cara yang betul.  
* * * * *



September 2005
Hampir 4 tahun Haziqah berada di universiti, kehidupannya sudah banyak dilumurkan dengan dosa-dosa. Segalanya bermula apabila dia berjumpa dan berkenalan dengan Zehra dan kawan-kawannya yang lain. Perkenalan tersebut bermula ketika mereka semuanya berada di Tahun 2 pengajian mereka dalam Kuliyyah Undang-Undang. Zehra dulu sememangnya tidak menyukai Haziqah yang dianggapnya seperti kera sumbang, ‘otai’ tapi pandai. Dia paling tak puas hati melihat pencapaian cemerlang Haziqah. Zehra sememangnya merancang untuk menjadikan Haziqah sebagai ahli kumpulannya yang baru. Dia pun mulalah merancang, pada suatu hari, secara sengaja dia melanggar Haziqah di kafeteria, lalu makanan yang dibawa Haziqah tertumpah mengenai pakaian Zehra.  

Puas hati dia waktu itu melihat muka Haziqah yang sudah cuak. Haziqah pula kebingungan sama ada dia yang bersalah ataupun Zehra. Belum sempat Haziqah membuka mulut, Zehra tersenyum nipis kepadanya dan berkata, “ Tak mengapa, you tak sengaja, right?” Haziqah hanya mengangguk, sekurang-kurangnya tidaklah dia malu sangat di hadapan para pelajar lain yang berada dalam kafeteria tersebut ketika itu kerana Zehra memaafkan dia. Semenjak peristiwa itu, Haziqah menjadi rapat dengan Zehra dan dia juga telah menghilangkan segala sangkaan buruknya sebelum ini terhadap Zehra bahawa dia adalah pelajar bermasaalah seperti yang selalu diceritakan oleh pelajar-pelajar lain.

Bersama Zehra dan kawan-kawannya, Haziqah mula belajar keluar malam. Permulaannya, Zehra mengajaknya ke kelab malam untuk berkaraoke dengan alasan merasa ‘tension’ dengan belajar di siang hari, jadi Haziqah boleh melepaskan ‘tension’ tersebut di malam hari. Haziqah mula rasa seronok kerana sudah mempunyai kawan-kawan dalam hidupnya. Ramai juga kenalan baru yang dia jumpa di kelab malam tersebut. Setiap hujung minggu juga pasti terisi dengan aktiviti-aktiviti  seperti menghadiri parti-parti, menyertai kawan-kawan lelaki Zehra bermain snuker, dan lain-lain memandangkan Haziqah memang tidak pulang ke rumah pada hujung minggu. Sememangnya, itulah yang dia mahukan iaitu untuk tidak pulang ke rumah yang dianggapnya sebagai ‘neraka’. Tidak sanggup dia mendengar ibu bapanya yang asyik bertekak.  Jika dia pulang pun, pasti ibu bapanya tiada di rumah kerana sibuk dengan aktiviti-aktiviti masing-masing di luar.  Lebih baik dia hidup bergembira bersama-sama Zehra dan kawan-kawannya.
* * * * *

 “Haziqah, kenapa CGPA awak makin teruk ni??? Sem depan awak ‘last sem’ tau,” tegur Dr. Zabidi, Dekan Hal Ehwal Akademik Kuliyyah Undang-Undang. “Saya dimaklumkan yang awak  ni rapat dengan Zehra dan sering mengikuti aktiviti-aktivitinya. Tapi saya mahu dengar sendiri penjelasan daripada awak, adakah ini puncanya CGPA awak makin teruk?” sambung Dr. Zabidi dengan tenang. Haziqah masih lagi membisu, terasa berat sangat mulutnya untuk berbicara. Dia sebenarnya sudah lama tidak pedulikan pencapaian akademiknya, kerana baginya cukuplah selama ini dia mencapai keputusan cemerlang semenjak sekolah lagi. Ibu bapanya hanya menghargainya sewaktu dia belajar di sekolah rendah. Setelah itu tiada lagi penghargaan daripada mereka, kerana pada waktu itu jugalah bermulanya konflik rumahtangga ibu bapanya . Jika ada hari penyerahan kad pelajar dan hari kecemerlangan pelajar, jangan haraplah ibu-bapanya akan datang meraikan bersama-sama kejayaannya. Ada sahaja alasan sibuk  dengan perniagaan, takut sangat rugi sehari! Oleh sebab itu dia rasa amat seronok berkenalan dengan Zehra yang selalu membawanya ke mana-mana. Dia sudah jadi tidak kisah dengan pencapaian pelajarannya.

“Dr.. mak ayah saya tak kisah pun kalau CGPA saya macam ni….” akhirnya Haziqah memberi respon setelah lama mendiamkan diri. Dr. Zabidi terus sabar untuk mendengar penjelasan yang seterusnya. Haziqah menyambung, “Dan…. Ini adalah masalah saya…Zehra tidak ada kaitan dengan kegagalan saya…” terang Haziqah. Keadaan sunyi seketika. “Ada apa-apa lagi ke Dr.?? Erm, saya tak kisah pun kalau kena buang dari universiti ni.  I’m ready for it!” , kata Haziqah. Dr. Zabidi menggelengkan kepala dan membenarkan Haziqah keluar dari bilik tersebut. Dr. Zabidi berkata dalam hatinya bahawa Haziqah pasti punyai masalah yang cukup-cukup menekan dirinya sekian lama sehinggakan dia sanggup berkata tidak kisah dibuang universiti. Itu menunjukkan dia sudah tidak lagi berminat untuk belajar dan meneruskan kecemerlangannya. Dr. Zabidi tetap menyimpan tekad untuk membantu Haziqah semampu yang dia boleh.
* * * * *

 “Sambutan 1 Ramadhan menjadi mimpi ngeri apabila satu kemalangan ngeri antara sebuah kereta BMW dan sebuah lori treler telah berlaku pada pukul 3 pagi tadi. (bersambung...)

0 komentar:

Post a Comment