Nukilan: Siti Munirah Mohd Adnan
(sambungan Bahagian 1...)
Sewaktu zaman persekolahannya Haziqah memang terkenal dengan kedegilannya dan keangkuhannya terhadap rakan-rakan sebayanya. Dia cukup ‘anti’ pada sesiapa yang menegurnya terutamanya bila teguran itu datang daripada para pengawas yang dianggap ‘skema’ dan berlagak baik! Dia memang tidak peduli jika ada kawan-kawannya yang menegur agar tudungnya dilabuhkan kerana tudung yang dia pakai sangat-sangat tidak melambangkan yang dia bersekolah agama.
Pernah beberapa kali dia dipanggil dan didenda oleh Cikgu Harith kerana dia masih berdegil untuk ubah cara pemakaiannya yang berkain singkat paras atas sikit dari buku lali, kasut ‘high cut’, tudung singkat dan lengan baju yang sentiasa disinsing. Haziqah sememangnya keras hati dan sentiasa memekakkan telinga apabila sentiasa ditegur dan dimarahi oleh guru disiplin tersebut. Bagi dirinya buat apa perlu berpura-pura, sedangkan dirinya tidak rela memakai pakaian mengikut peraturan sekolah. Perangai dia takkan secocok dengan pakaian seperti tudung labuh, baju labuh dan sewaktu dengannya.
Orang tidak tahu betapa jiwanya memberontak pada waktu itu! Apa yang mereka tahu hanya mahu menghukum dan terus menghukum dirinya! Orang menganggap kedua orang tuanya menghantar dia ke sekolah menengah agama supaya dia dapat jadi orang yang baik, anak yang baik, dan sewaktu dengannya. Ahh!! Mereka tak tahu apa sebenarnya yang berlaku di dalam rumahnya yang sudah dianggap sebagai ‘penjara’ dan ‘neraka’ bagi dirinya! Hampir setiap malam kedua orang tuanya pasti akan bertekak bagaikan suara petir yang sangat memekikkan telinganya.
Kadangkala ada sahaja bunyi-bunyi tambahan yang menambahkan lagi ‘seri’ pertengkaran kedua orang tuanya, bunyi pintu yang dihempas dengan kuat, bunyi pinggan pecah, bunyi kerusi dilagakan dengan meja makan dan macam-macam lagi! Setiap hari merupakan tekanan baginya bila berada di rumah. Air matanya memang sudah lama kering kerana dia sudah lali dengan keadaan sedemikian, sehinggakan dia berharap agar suatu hari nanti ibu dan ayahnya itu berpisah sahajalah daripada duduk sebumbung tapi perangai macam anjing bertemu kucing!
Di sekolah ramai kawan-kawannya yang tidak puas hati, bagaimanalah seorang yang nakal dan degil seperti Haziqah sentiasa mendapat keputusan yang cemerlang setiap kali peperiksaan. Ramai juga guru yang pelik tapi kerana keputusannya yang selalu cemerlang ini menyebabkan tidak ramai guru yang kisah sangat dengan peribadinya. Cikgu Harith merupakan satu-satunya guru yang tahu kehidupan sebenar Haziqah, walaupun pada mulanya dulu, Cikgu Harithlah yang paling banyak memarahi dan mendenda Haziqah.
Cikgu Harith yang arif dengan pelbagai masalah pelajar, mengambil pendekatan yang lebih lembut setelah dia mendapati cara memarahi dan mendenda Haziqah langsung tidak memberi kesan kepada diri Haziqah. Bagi Cikgu Harith, Haziqah cuma bermasalah dari segi pemakaian dan sikap kurang ajarnya terhadap rakan-rakan sebaya. Hampir dia tidak pernah mendengar sebarang aduan daripada guru-guru di sekolah tentang sikap tidak hormat Haziqah terhadap guru-guru di situ. Cuma, jika ada guru-guru yang menegur cara pemakaiannya secara terbuka atau menyindir, memang biasanya Haziqah akan memekakakkan telinga dan berlalu begitu sahaja tanpa guru tersebut habis bercakap. Mungkin itulah sedikit sikap tidak hormatnya pada sesetengah guru yang menegurnya.
Sewaktu Haziqah berada di tingkatan 4, ada seorang pelajar lelaki yang berpindah ke sekolah tersebut menegur cara pemakaiannya. Lelaki yang digelar sebagai ‘alim ulama’ di sekolahnya itu menegurnya dengan suara yang tinggi dengan mengatakan kalau nak pakai macam ni pergilah belajar di sekolah menegah biasa. Orang seperti Haziqah ni hanya merosakkan imej sekolah agama. Kemudian dia mengatakan bahawa keputusan cemerlang yang Haziqah dapat selama ini adalah ‘istidraj’! Tak usahlah Haziqah nak berbangga dan berlagak sombong sebab kejayaan tersebut tiada maknanya di sisi Allah swt.
Haziqah yang bengang dengan cara teguran lelaki tersebut tanpa berfikir panjang menumbuk pipi lelaki tersebut sekuat hatinya. (bersambung...)
ok. teruskan lagi kakak! :)
ReplyDeletetp.. kalau akak bole buat tulisan Arial . font 14-16 pun keren juga. hehe.maaf.
terima kasihhhhh!!