"Memasuki Ramadhan bererti memasuki atmosfir ibadah penuh kesan, kenangan, amal, ibadah sebulan lamanya..." -Solikhin Abu 'Izzuddin
Penting untuk kita tanam dalam fikiran, bahawa Ramadhan itu bukan hanya 10 malam terakhirnya, tetapi sepanjang bulan itu dari awal hingga akhirnya, merupakan 30 hari yang penuh barakah, rahmat, maghfirah dan kebesaran. Maka, amat pentinglah untuk kita menghadirkan istiqamah dalam meneruskan momentum ibadah yang telah kita mulakan dari awal sehinggalah tamat bulan Ramadhan; serta mengoptimakan segala amal-amal baik yang ingin kita lakukan di dalamnya. Demi menggapai tujuan yang mulia ini, mahu tidak mahu, setiap individu perlulah mempunyai persiapan-persiapan tertentu sehingga matlamatnya berjaya dipenuhi dan dia tidak melalui bulan Ramadhan dengan sekadar 'melepaskan batuk di tangga'.
PERSEDIAAN MENYAMBUT RAMADHAN
Sesungguhnya setiap persediaan yang kita lakukan untuk Ramadhan ialah ibadah. Persediaan-persediaan ini amat penting agar kita tidak masuk ke bulan Ramadhan seperti mana masuknya kita ke dalam bulan-bulan lain, hingga mengakibatkan hari-hari di dalamnya sia-sia kerana tidak banyak beza. Sedang Ramadhan itu amat tinggi nilainya, dan hari-harinya tidak laku ditukar-ganti dengan wang ringgit. Puasa sebanyak mana pun pada bulan-bulan biasa sebagai contoh, tidak sama nilainya dengan berpuasa satu hari dalam bulan Ramadhan. Demikianlah hebatnya bulan ini di sisi Allah; sehingga Rasulullah s.a.w sendiri sentiasa menyambut & menyongsong kedatangan bulan Ramadhan sebagai suatu berita GEMBIRA. Baginda bersabda:
"Sungguh telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan penuh keberkatan. Allah menfardhukan atas kamu puasanya. Di dalam bulan Ramadhan, dibuka segala pintu syurga & dikunci segala pintu neraka & dibelenggu seluruh syaitan. Padanya ada satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Barangsiapa yang tidak diberikan kepadanya kebaikan pada malam itu, maka sesungguhnya dia telah dijauhkan dari kebaikan"
Terbukti, para sahabat dan golongan salaf benar-benar menghayati keagungan bulan ini, sehingga dikatakan bahawa antara doa yang sentiasa mereka ucapkan selepas Ramadhan ialah 'Ya Allah, terimalah amalan-amalan kami di bulan Ramadhan'; dan doa yang diucapkan apabila menghampiri bulan-bulan terakhir sebelum kedatangan bulan Ramadhan yang baru ialah 'ya Allah, sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan'. Sungguh, mereka gembira dengan kehadiran Ramadhan seperti mana gembiranya seseorang yang bakal bertemu kekasihnya setelah terpisah sekian lama. Tangis gembira mereka dengan kehadiran bulan Ramadhan, adalah seperti tangis mereka pada saat kesedihan yang dalam. Persiapan mereka sementara menanti ketibaan bulan yang ditunggu-tunggu ini pula, ialah seperti persediaan menyambut tetamu agung atau raja-raja; kerana sesungguhnya Allah telah memberikan kelebihan-kelebihan tertentu yang istimewa, hanya pada bulan Ramadhan.
Ramadhan bulan harapan |
HAKIKAT RAMADHAN
2. Ramadhan yang berkesan mampu menghasilkan 'mawjatul iman' atau gelombang iman yang menyapu bersih kekotoran hati dan memperbaiki kondisinya. Seorang hamba sentiasa memberikan tumpuannya dalam bulan ini ke arah menggapai redha Allah sehinggalah tidak ada lagi ruang dalam hatinya kecuali ia sentiasa diisi dengan mengingati Allah dalam setiap waktu dan ketika.
Ramadhan bulan ibadah |
3. 'Inna liramadhan manzilah wa silah bilkhaliq' (Sesungguhnya pada Ramadhan itu kedudukan [di sisi Allah] dan hubungan dengan Khaliq); Ramadhan datang membawa suatu peluang yang mahal untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan ibadah-ibadah yang dicintai-Nya seperti puasa, iktikaf, tahajjud dan solat berjemaah.
4. Ramadhan ialah bulan muhasabah. Seorang muslim akan merasa keperluan untuk menjadi manusia yang lebih baik pada bulan ini, lantas membetulkan kesilapan-kesilapannya yang lalu, bertaubat dari dosa-dosa dan memperbanyakkan amal ibadah.
Ramadhan bulan tilawah |
5. Ramadhan menjadikan kita manusia yang lebih tersusun dalam urusannya - Demi menggapai sebanyak mungkin kebaikan yang telah dijanjikan pada bulan ini, tidak mahu tidak seseorang itu mestilah berusaha mendisiplinkan dirinya sebaik mungkin serta melapangkan waktunya dari perkara-perkara yang boleh mensia-siakan puasanya dan bulan Ramadhan itu sendiri.
6. Ramadhan ialah bulan rahmat, maghfirah dan keampunan - Berapa banyakkah dosa yang telah kita lakukan semenjak bulan Ramadhan yang lalu? Jadikanlah Ramadhan akan datang peluang untuk keluar dari dosa-dosa dan membersihkannya.
..Dan bukankah semua ini titik-tolak untuk menjadi insan-insan yang lebih baik di sisi-Nya?
MENYAMBUT RAMADHAN
Antara perkara-perkara yang boleh kita usahakan sebagai persediaan untuk menyambut bulan ini dan seluruh keagungannya ialah:-Memperbanyakkan sedekah
-Memperbanyakkan taubat nasuha
-Memperbaiki hubungan dgn semua orang
-Meminta maaf & memaafkan.
-Mempelajari fiqh puasa
-Mengambil-tahu dan menghayati fadhilat-fadhilat serta kelebihan bulan Ramadhan
-Berdoa dan memohon bantuan dari Allah agar diberikan kesempatan bertemu Ramadhan, dan memanfaatkan kedatangannya.
KESIMPULAN
-Pastikan Ramadhan kali ini menjadi suatu peluang untuk kita mengubah hidup dari segala aspek.
-Bersedialah dari sekarang untuk menyambut bulan yang penuh dengan kemuliaan ini, sehingga kita mampu masuk ke dalamnya sebagai insan-insan yang mantap, hasil persediaan memantapkan diri dari awal, insyallah :)
0 komentar:
Post a Comment