Satu sunnatullah, pemimpin silih berganti. Selepas datang, pasti kan pergi. Walau beralih zaman, walau berombak musim, walau berganti dekad, pasti akan ada pemimpin yang akan menerajui sesebuah masyarakat. Sejarah dunia pernah melihat bagaimana Julio dan Augustus Caesar memimpin ketamadunan Rom. Juga tak dilupa Genghis Khan memimpin empayar Mongol. Juga Meiji yang merubah Jepun kepada sebuah kuasa baru dunia. Bagaimana Mussolini mengepalai Itali. Bersaing hebat dengan Hitler yang memimpin Nazi.
Sejarah juga tidak pernah mampu untuk menafikan keunggulan Tamadun Islam sedari detik pemerintahan insan yang paling berpengaruh di dunia, Nabi Muhammad bin Abdullah SAW. Bermula dari titik pemerintahan di bumi Madinah al Munawwarah, Islam menyelusuri muka bumi. Selepas wafat, tauladan kepimpinan silih bertukar ganti. Untuk menyahut seruan ilahi. Dengan pengganti-pengganti Baginda, dunia pernah melihat sendiri bagaimana kemas dan gahnya kepimpinan kerajaan Khulafa ar Rasyidin, Kesultanan Abbasiyah, Kesultanan Ummayah, Kesultanan Fatimiyah dan Kesultanan Turki Uthmaniyah menguasai dunia. Kesannya, Islam berkembang ke seluruh pelusuk alam. 2/3 menguasai bumi.
Itu cerita ratusan tahun lama. Sekadar memberi bayangan betapa kita pernah menguasai dunia. Sebaliknya kini, hanya tinggal sengsara di balik derita. Hanya tinggal kenangan untuk untuk tidak dilupa. Berbalik kepada bumi yang dipijak. Bumi Malaysia. Sejarah negara ini juga penuh dengan pelbagai keunikan perkara. Sedari zaman Kesultanan Melayu Melaka, diikuti zaman penjajahan kuasa asing, tercapainya kemerdekaan negara ini, terletusnya persitiwa berdarah 13 Mei, demonstrasi besar-besaran 1999 sehinggalah ke era pentadbiran Putrajaya pada hari ini. Itu antara sejarah Malaysia. Tanah bertuah ini pernah diterajui dan dipimpin para pemimpin handalan dari pelbagai latarbelakang pendidikan. Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn umpamanya memiliki latar belakang pendidikan jurusan Perundangan. Tun Dr. Mahathir Mohamad pula merupakan bekas mahasiswa Perubatan. Tun Abdullah Ahmad Badawi yang merupakan Perdana Menteri Malaysia yang ke-5 pula merupakan lulusan Pengajian Islam. Negara Malaysia tidak pernah ketandusan bakat-bakat kepimpinan bangsa.
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merupakan lulusan bidang agama di Mesir. Datuk Seri Anwar Ibrahim pula merupakan bekas mahasiwa jurusan Pengajian Melayu di Universiti Malaya. Itu antara figura-figura yang pernah dan masih menguasai dunia siasah Malaysia. Tak pernah boleh untuk dinafikan oleh sesiapa, untuk membentuk sesebuah ketamadunan yang gemilang, aspek siasah mesti diambil kira. Tak lupa juga peri pentingnya aspek ekonomi, tarbiyah, teknologi dan juga dunia sains yang penuh dengan penemuan-penemuan baru sebagai elemen fundamental sesebuah masyarakat untuk menjadi sebuah negara maju dan berkat.
Jika dianalisa dengan mendalam nama-nama dan figura-figura seperti yang tertera di atas, kita akan menjumpai satu persamaan di antara insan-insan tersebut. Kesemuanya pernah bergelar mahasiswa. Mungkin berlainan bidang, tetapi miliki satu perjuangan. Sejak dulu, bukan setiap insan berpeluang menjadi sebahagian daripada kelompok mahasiswa. Mahasiswa itu pada asasnya adalah mereka yang memiliki personaliti dan punyai kecemerlangan dalam ademik. Arakian, masyarakat amat mengharapkan untuk kelompok mahasiswa ini mampu untuk menjadi pemimpin mereka pada suatu hari.
Maka tugas selaku mahasiswa bukanlah mudah. Sesekali tidak boleh dipandang enteng. Apatah lagi dipandang remeh. Hakikat yang mesti ditelan walaupun pahit adalah mahasiswa kini umumnya tidak cakna terhadap tugas dan perjuangan masing-masing. Sekadar cemerlang dalam transkrip peperiksaan tidak mencukupi! Walau cemerlang tetapi perjuangan yang lebih besar itu pula telah ditolak ke tepi. Hal ini tidak patut berlaku. Seperti yang telah tertera di atas, sejarah kita bukan sebarangan sejarah. Tamadun Islam kita bukan sekadar megah pada nama. Tetapi ketamadunan ini telah disaksi sendiri oleh alam semesta. Bagaimana gahnya kota Cordoba dan Baghdad. Bagaimana gah kekuatan Moghul. Lihat sendiri kekuatan Melaka selepas dikuasai Islam.
Maka kita selaku mahasiswa tidak boleh sekadar bersandar pada kenangan semata-mata. Perjuangan menegakkan kembali ketamadunan Islam perlu bermula dengan kita. Dakwah sebagai metodenya. Pelajaran sebagai intisarinya. Kita perlukan lebih ramai professional berfikrah untuk mengimbangi kekuatan barat. Kita perlukan lebih banyak doktor. Kita perlukan lebih ramai peguam. Kita perlukan lagi lambakan jurutera dan saintis. Kita mahukan ribuan lagi ahli-ahli sastera untuk sumber seni bangsa. Kita perlukan cendekiawan-cendekiawan Muslim untuk mengembalikan kembali bumi Al-Quds kepada yang berhak. Kita perlukan hartawan-hartawan yang mampu untuk membebaskan umat Islam hari ini yang dibelenggu kepapaan. Semuanya bermula dengan peranan mahasiswa. Bakti untuk keluarga, negara dan tamadun pada akhirnya.
Tuntas, perjuangan ini tidak pernah mudah. Sebaliknya perjuangan ini adalah satu misi agung. Pastinya adalah suatu ibadah juga. Bukankah Syurga Allah itu mahal? Maka inilah salah satu bayaran yang harus dibayar. Jika tidak bermula sekarang, bila lagi?
Penulis:
Muhd Danial Izzat Zulbahari
Tahun Kedua,
Exco Welfare Law Students' Society 2010/2011,
Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (LL.B),
Universiti Islam Antarabangsa Gombak
Penulis:
Muhd Danial Izzat Zulbahari
Tahun Kedua,
Exco Welfare Law Students' Society 2010/2011,
Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (LL.B),
Universiti Islam Antarabangsa Gombak
salam
ReplyDeletesangat setuju. mahasiswa adalah antara sasaran takungan mad'u yang sanagt penting kerana mereka adalah bakal peneraju negara. biarpun mungkin bukan semua akan menjadi perdana menteri atau pimpinan politik tapi sebahagian yang lain dari kalnagn ini juga yang bakal menggerakkan arus perjalanan dan pembangunan negara. maka, kerana itu golongan ini harus dijaga dan dididik dengan sebaiknya. merekalah bakal2 pegawai bank, pengamal undang2, penyelidik malah pendidik generasi akan datang. dan kita sendiri sebagai mahasiswa yang mengaku diri sebagai daie.. huu sangat besar peranan dan tanggungjawabnya
antara ijazah dan risalah...
suatu kupasan yang menarik..usaha yang amat bagus..teruskan..
ReplyDelete