Sunday, March 27, 2011

Antara Ijazah Dan Tarbiyyah?


Antara Ijazah dan Tarbiah




Perjuangan kita di gelanggang ilmu hari ini, pastinya bukan sedikit likunya. Kadangkala kita tersepit dengan pelbagai bentuk masalah dalam usaha mencapai matlamat, adakalanya kita gagal mencari kepuasan dalam apa yang kita lakukan, terkadang pula kita keliru membuat keputusan, dan seribu satu macam lagi permasalahan sering datang bertukar-ganti dalam kehidupan. Kita diuji, dalam sedar mahupun tidak. Sebagai seorang pelajar contohnya, kita sering teruji dalam usaha menyusun jadual kehidupan seharian – sama ada kita menyusunnya berdasarkan priority seorang pelajar muslim, ataupun semata-mata berdasarkan kemahuan dan apa yang kita suka lakukan. Demikianlah, kita akan sentiasa diuji dalam membuat pilihan; kerana sesungguhnya hidup ini penuh dengan pilihan untuk dilakukan – walaupun dalam memilih ayam atau ikan untuk hidangan tengahari, di kafe ekonomi atau undang-undang, mahu jadi jurutera atau pakar bahasa, belajar, bersukan, berpersatuan, atau berdakwah—kita sentiasa ada pilihan untuk memilih.


 
Apabila Allah Subhanahu wa Taala bersumpah dengan sesuatu dalam al-Quran, konotasinya adalah pada kepentingan, kebesaran, keutamaan, dan penekanan yang ada pada subjek sumpahan itu sendiri. Maka dengan “Bacalah…” (96:1), sebagai ayat pertama penurunan, nyatalah di hadapan kita akan wujudnya penekanan terhadap kepentingan hakikat ilmu itu sendiri dalam Islam. Selain ayat pertama dari surah Al-‘Alaq di atas, Allah SWT juga menegaskan dalam ayat kelima surah yang sama bahawa “Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya..” (96:5). Nah… Sungguh jelas bukan? Bahawa segala macam ilmu itu datangnya dari Dia juga—Tidak kiralah samada ilmu tersebut bersumberkan buku-buku yang ditelaah, atau dari penerangan para pensyarah, atau yang kita tahu tetapi tidak mampu kita ingat. Lantas, jika semua itu datangnya dari Allah dan akan kembali kepada-Nya, relevankah untuk kita memilih antara Allah dan pelajaran, bilamana keduanya secara bersama pasti akan melonjakkan kita ke tangga yang lebih tinggi, di sisi-Nya?


 
Jika kita memulakan mana-mana jurusan pengajian, bab pertama untuk setiap buku teks yang digunakan pastinya merupakan pengenalan terhadap sesuatu subjek; demikian jugalah langkah utama dalam dunia tarbiyah semestinya bermula dengan mengenali Allah–kenal akan kasihsayang-Nya, cinta-Nya, benci-Nya, marah-Nya, amaran-Nya, larangan-Nya, janji-Nya, dan ganjaran-Nya – semua ini mampu menggandakan keyakinan dan pengertian seorang hamba terhadap-Nya. Mahasiswa yang mahu meletakkan ‘pelajaran sebagai nombor 1 tetapi tarbiyah bukan nombor 2’, mestilah yakin seyakin-yakinnya akan janji Allah, sentiasa yakin bahawa Allah akan membantu sesiapa yang membantu agama-Nya (47:7), juga yakin bahawa dalam setiap doa ada jawapannya, serta berasa pasti yang setiap kegagalan ada kejayaannya dan dalam setiap ujian ada pengajarannya.

Dalam menyeimbangkan perjuangan ijazah dan tarbiah, pastinya lebih cantik dan manis apabila study itu mentarbiahkan kita, dan tarbiah itu juga menjadi sesuatu yang kita study. Walau apapun, isu-isu se—ideal ini, meskipun amatlah mudah untuk dibicarakan, dan amat indah pulalah sekiranya dimuatkan dalam artikel-artikel, tetapi tidaklah semudah itu untuk dipraktikkan. Hal ini kerana, kita sedang membincangkan sesuatu yang bermain dengan masa; dan menuntut ilmu serta berdakwah seringkali menuntut pengorbanan masa yang bukan sedikit dari kita. Namun siapa tahu jika semua ini sebenarnya suatu bentuk tarbiyah Ilahi yang halus untuk menyibukkan kita dalam ‘amal soleh agar terhindar dari perkara-perkara berunsur maksiat?Seperti yang kita maklum, statiknya air mampu merosakkannya, dan lapangnya seorang pemuda pula mampu membunuhnya. Yakinlah akan adanya hikmah di sebalik setiap keluhan letih mahasiswa yang bergiat aktif dalam dakwah dan menolak pula untuk meninggalkan kejayaan dalam menuntut ilmu. Sedang Nabi yang agung juga menasihatkan mukmin itu dengan itqan, berusahalah kita demi menjadikan semuanya yang terbaik.


Kalau benar ada teknik pijak kaki—untuk minta maaf lantas bertanya nama—maka sudah kenal, ringan-ringankan mulut pula untuk ajak makan. Sudah mahu makan bersama, boleh borak dan lepak bersama. Maju ke depan, ajak pula solat berjemaah. Tak perlu berkopiah, bertudung labuh segala untuk dapat kemanisan berpesan-pesan. Strategi dakwah fardiyah sangat pelbagai dan unik. Walaupun ‘politik perut’ sangat berpotensi untuk berhasil, siapa kata semua orang setuju bila diajak makan? Tidak semua orang suka berborak dan duduk-duduk bersama. Jika kurang mampu untuk mengajak, latihlah diri untuk dicontohi. Tutuplah aurat selengkapnya, berkata-katalah dengan perkara yang menyenangkan, senyumlah untuk menenangkan, bersopanlah tingkah dan perilaku, moga Allah lahirkan rasa malu buat mereka untuk melakukan yang sebaliknya. Cantik kan dakwah dan tarbiah?

Betul. Tidak semua orang reti menyampaikan. Bukan semua tahu susun ayat. Tidak ramai yang mahir menjirus basah. Kalau tahu dan mahir sekalipun, belum tentu hati itu dapat disentuh. Tiada jaminan mad’u berbondong-bondong. Tapi ingat, nilaian Allah bukanlah pada hasil. Allah melihat pada usaha dan ikhlas. Allah tahu niat dan isihati kita (28:69). Dan kembali pada intipati mengenali Allah, kita akan faham yang Allah jugalah pemberi hidayah (26:78). Fahamlah yang kita Cuma menyampaikan. Faham itu rezeki. Faham itu layak untuk semua, bukannya eksklusif. Maka biar siapa pun kita, sampaikanlah biar sepotong ayat, siapa tahu yang sedikit itu yang menyentuh?

Siapa kata dakwah itu mudah? Mana mungkin ta’rif, takween dan tanfiz itu senang? Tarbiyah bukan sekadar ta’lim atau pengajaran semata-mata, tetapi juga suatu proses mempersiapkan manusia yang soleh, yang seimbang tujuannya, potensinya, dan amalnya. Ia didikan membina, bagai momentum yang menguatkan perlanggaran, yang tidak statik letaknya, dan memerlukan proses yang berterusan, seiring dengan dakwah. Bila dakwah dan tarbiyah itu seiring, ia mampu mengubah. Bila ilmu pula selari dengan dakwah dan tarbiah, ia mampu mengubah manusia menjadi insan luar biasa. Kita mahu doktor yang bukan sekadar merawat pesakit tetapi juga mendoakan. Kita mahu para saintis yang merendah diri sujud pada zat yang tidak dapat dilihat dan dikaji. Kita mahu hartawan yang dunianya tidak mengganggu akhiratnya. Kita mahu akauntan yang walaupun sibuk, tetap tepat awal waktu solatnya. Kita mahu peguam yang setiap tugasnya tidak bermula tanpa bismillah. Kita mahu jadi manusia hebat. Yang dulu langkahnya seorang daie mengejar ijazah, kini ijazah itu genggamannya seiring tarbiah pendindingnya, dan selamanya ijazah itu mampu memperhebat dakwahnya.


 
Benar, amatlah menyeramkan jika episod-episod kita di university berakhir dengan kegagalan membawa pulang segulung ijazah, tetapi bagaimana pula dgn risiko hari-hari dlm kehidupan yang tiada jaminan akhirnya husnul khatimah? Bukankah itu lebih menggerunkan? Jika adil itu adalah meletakkan sesuatu tepat pada tempatnya, maka adililah tarbiyah sebagai matlamat dan menuntut ilmu itu sebagai alat untuk mencapai matlamat. Apalah gunanya tarbiah jika kita adalah orang yang gagal? Apalah nilai matlamat jika musnahnya alat? Apalah gunanya putih telur jika kuningnya sudah tiada? Ingatlah bahawa sebenarnya “mampu”mu itu datang dari “mahu”mu. Usahlah kejar duniamu, kelak ia berlari meninggalkanmu, tapi kejarlah akhiratmu, nescaya dunia itu berlari mengejarmu.



Penulis: Atiqah Wan Muhayudin
            Timbalan Amirah, Karisma Daerah Gombak
            Tahun ketiga, Accounting, UIAM
 



p.s.:

Bittaufiq wan najah dalam imtihan yang bakal tiba. Kami doakan yang terbaik untuk seluruh warga UIA, terutamanya ikhwah akhawat sekalian. ^_^

8 comments:

  1. Subahanallah.
    Terus semangat ye semua!
    Najah untuk imtihan nanti.

    ReplyDelete
  2. wooooooooooooooooot! thumbs up! :)

    ReplyDelete
  3. subhanallah sgt inspiring!
    takde butang like eh :)
    moga semua mncapai kejayaan both
    dunia & akhirat.

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah..isi yg mantop dan basah!!!
    moga lebih banyak lagi ikh/akh yg berbakat tampil memberikn idea2 bernas..

    teringat kata2 seseorg "kita adalah pendakwah yang belajar bukan pelajar yg berdakwah"

    sudah menjadi lumrah kdg kala kita terasa lemah dan rasa ingin jatuh so berpautlah pada Allah dan owez bersama sahabat2 kita..itulah penawar terbaik..:-)

    gud luck ikh/akh!!!!!!

    ReplyDelete
  5. nak quote: "Benar, amatlah menyeramkan jika episod-episod kita di university berakhir dengan kegagalan membawa pulang segulung ijazah, tetapi bagaimana pula dgn risiko hari-hari dlm kehidupan yang tiada jaminan akhirnya husnul khatimah? Bukankah itu lebih menggerunkan?"

    Nak jadi ini!!! "Kita mahu jadi manusia hebat. Yang dulu langkahnya seorang daie mengejar ijazah, kini ijazah itu genggamannya seiring tarbiah pendindingnya, dan selamanya ijazah itu mampu memperhebat dakwahnya." Bantu kami Ya Allah!

    jzkk...

    ReplyDelete
  6. Artikel yang sangat baik. Sangat sesuai dengan suasana kampus sekarang. Teruskan menulis!



    p/s: Percaya dan yakin bahawa ramai lagi ahli KDG yang masih belum menunjukkan belangnya dalam penulisan

    ReplyDelete
  7. artikel ini telah ditulis kembali di blog karisma nasional.

    http://siswaislah.org/artikel/tarbiyah/ijazahntarbia/

    mabroook atiq n KDG! :)

    ReplyDelete