Tuesday, January 18, 2011

Segarnya Udara Pagi: Kisah 7 Pemuda di Puncak Jabal Broga



Musolla Bilal pagi itu sungguh nyaman. Kehadiran lebih daripada 20 orang pemuda dari pelusuk lembah Sg Pusu telah mengubah kebiasaan kisah musolla tersebut. Watak yang pelbagai niatnya sama, untuk berjumpa Tuhan pada waktu di mana pintu langit dibuka dengan luas. Berdoa ketika itu sangat mustajab. Itu janji Tuhan, bukan janji insan.


Namun di sebalik kenyamanan itu, ada lagi kisah kecil yang menjadikan plot cerita ini lebih bermakna. Itulah cerita tentang tujuh orang pemuda.  Tujuh orang pemuda yang ingin mengambil ruh tujuh pemuda Kahfi. Tujuh orang pemuda yang ingin mendekatkan diri dengan Illahi.

Jarum pendek sudah pun melepasi sedikit angka tiga sementara jarum panjang pula sudah berada di angka enam. Tujuh pemuda ini bangun dengan jiwa yang membara. Setiap anggota wudhu’ dibasahkan moga bercahaya. Lantas bertakbirlah mereka mencecahkan kepala di atas tikar sejadah. Perjalanan perlu dimulakan dengan segera.

Toyota Unser terus meluncur laju meredah MRR2. Ngantuk amat tapi perjuangan tak kenal erti kengantukan. Hadafnya, Subuh di atas puncak. Kesilapan perancangan menjadikan masa perjalanan bertambah dari yang dianggarkan. Namun pengalaman menjadikan perancangan tersebut mampu untuk diteruskan. Broga sudah pun sampai, namun hadaf tidak dapat dicapai. Sujud yang sepatutnya berkumandang di puncak bukit hanya dapat dilaksanakan di kaki bukit.

Usainya salam, pendakian harus terus dimulakan. Hadaf yang baru, melihat sang mentari terbit dibalik awan. Jaraknya 1.7 km, mampukah pemuda-pemuda ini menempuhi pendakian? Tujuh pemuda ini tidak keseorangan, orang ramai sudah berpusu-pusu datang dengan lampu suluh di tangan. Ya, pagi ini adalah hari cuti, masa yang sesuai untuk semuanya beraksi.
 
Semakin tinggi pendakian, lelah pun berkunjung datang. Nafas yang tercungap-cungap, anggota pun sudah semakin berat. Sedikit sebanyak jiwa menyesali diri. Mungkinkah bisa mencontohi nabi jikalau perjalanan hanya terhenti di sini. Gua Hira’ dan Gua Tsur sungguh mencabar, hijrah Madinah pasti menuntut sabar. Hati ini terus menyesali, mungkinkah bisa mencontohi sahabat yang berjuang membantu nabi. Bersama-sama dalam peperangan mengangkat nama illahi. Tangan terputus, panji tetap berdiri. Jiwa yang kudus, syahid yang diimpi.

Suara itu terus memanggil, “Sikit lagi…sikit lagi…enta boleh”. Ukhuwwah memang indah. Nilai ukhuwwah memang tiada taranya. Kerana ukhuwwah, dua buah kaum yang bertelingkah beratus-ratus tahun mampu berdamai. Kerana ukhuwwah, negara Islam yang pertama berjaya didirikan. Kerana ukhuwwah juga, tujuh orang pemuda ini tabah meneruskan pendakian. Biar tertatih sekali kaki ini berjalan, ianya tidak pernah menjadi penghalang.

Kalimah tahmid diucap berulang-ulang kali. Segar sungguh udara pagi. Ini sudah puncak yang keempat didaki, badan direbahkan merehatkan diri. Dunia ini sungguh indah dilihat dari kayangan, indahnya syurga memang tak dapat digambarkan. Mungkinkah tujuh orang pemuda ini mampu bersama lagi di syurga? Sepertimana nikmatnya bersama-sama di atas bukit ini? Puncak menjadi saksi, masing-masing berkongsi isi hati. Luahan demi luahan membina keakraban. Memori indah terus dirakam. Inilah teras membina kegemilangan.

Masa tidak mengizinkan indah selamanya. Hampir jam lapan, tujuh pemuda mula menuruni puncak. Ada yang berjalan, berlari dan juga menggelungsur. Pakaian yang dibasahi peluh, mula menjadi kotor. Sepagi di jabal broga tak pernah mengecewakan. Kalau mereka boleh, apakah lagi alasan untuk berkata tidak? Usaha itu yang utama, ketentuan di tangan yang Esa. Kentalnya jiwa tujuh orang pemuda, walau saiz badan, jauh berbeza.



 




Tujuh pemuda pulang dengan kenangan. Toyota Unser melungsur meninggalkan pekan. Membawa azam untuk menyambung risalah Tuhan.  Juga bersedia untuk mukhayyam pada minggu hadapan. Persoalannya, mampukah mereka terus bertahan?

Wallahu a’lam.

*Penghargaan yang tak terhingga kepada tujuh orang watak dalam penulisan ini iaitu Hadi, Hasif, Al-Shafiq, Saifuddin, Usamah, Rahman dan Marwan. Pendakian ini bersempena dengan program Sambutan Pelajar Baru (SAMPEL), UIAM Gombak pada 25 Disember 2010 anjuran Pemuda IKRAM IPT Gombak dengan kerjasama KARISMA Daerah Gombak.









Nukilan,
Marwan bin Abdullah
Ameer KARISMA Daerah Gombak



   

15 comments:

  1. Wah! Mantap! =)
    Permulaan di bumi Gombak dengan pendakian yang menarik. Semoga terus mendaki sehingga puncak kegemilangan. ;)

    ReplyDelete
  2. Terbaik dari ladang!

    Kesinambungan ayat menyelit sejarah dahulu dan situasi sekarang.

    Menjadikan minda lari-lari ambil langkah untuk mengimbau dan membayang.

    :)

    --
    Afra' Azam

    ReplyDelete
  3. start ngan 7, lepas ni seluruh ikhwah akan tawan Jabal Broga dan akan kecapi apa yang x berjaya dikecapi ^^)

    ReplyDelete
  4. gamabr yang atas tu lg mantap kalo cukup 7 orang.
    lepas ni kena ada stand kamera ok kot( nk minta budget dari kawasan bole?) ^^)

    ReplyDelete
  5. ana kira x ckp pun tujuh org dlm gmbr ni... ker kira skali yg x 'nmpk'...
    jom buat lg..rindu plak rsa dingin nya pgi, mengeletar tubuh meluluh hati yg kecil ni.. jom twan genting plak...

    ReplyDelete
  6. mabruk Wawan. ada ciri2 utk menjadi pengganti Habiburrahman El Shirazi. hehe :)

    ReplyDelete
  7. 7 pemuda? ada x anjing sekor yg temankan? hehe

    ReplyDelete
  8. anyway...kalo sapa2 nk jadi feymes cam abg marwan kita ni bole la hantar artikel anda kepada kami di karisma.uiam@gmail.com ^^)

    ReplyDelete
  9. Alhamdulillah, terima kasih kepada pihak editor yang sudi menerbitkan perkongsian ini selepas berlaku penapisan yang sangat progresif, hehe. Kita harapkan juga ikhwah akhawat yang lain dapat berkongsi juga di blog kita ini untuk tatapan dunia.



    p/s: Kepada Danial, siapa Wawan?

    ReplyDelete
  10. salam
    ana nk tnye..
    sejak bile marwan jadi presiden??? ;p
    ana ingt pkn ari tu akhuna khairul yang jd presiden..haha ;p
    konfius..konfius..musykil..musykil ;p

    ReplyDelete
  11. tgk betul2. Presiden KARISMA Daerah GOMBAK tu. Ameer=Presiden. x yah nk pening2kan kepala sndiri :P

    ReplyDelete
  12. anyway. thx 4 d comment n correction ^^)

    ReplyDelete