Saturday, January 2, 2010

imbau semula: PKN '09

Bismillah.

Himpunan Sambutan 10 Tahun Karisma ataupun HS10TK dan Perhimpunan Karisma Nasional (PKN '09) sudah seminggu melabuhkan tirainya. Bagaimana khabar ikhwah dan akhawat pemerhati serta perwakilan sekalian? Sejauh manakah hasil perbincangan dan pengisian jiwa yang kita raih daripada kedua-dua majlis tersebut sudah dibumikan di peringkat individu dan lokaliti?

Di kesempatan ini, suka untuk penulis mengimbas kembali secara ringkas perkara-perkara yang telah berlangsung sepanjang majlis-majlis tersebut.

25 Disember 2009

Majlis HS10TK
yang telah berlangsung pada sebelah pagi hari Jumaat ini dimulakan dengan kata-kata aluan, bacaan doa serta ucapan pengarah HS10TK. Para pemerhati dan perwakilan seterusnya dihidangkan dengan santapan jiwa oleh Ustaz Alias Othman yang telah menyampaikan sebuah pengisian bertajuk Bekalan di Jalan Dakwah Buat Para Pemuda. Selain pengisian, majlis juga turut diserikan dengan kehadiran beberapa orang mantan kepimpinan KARISMA yang telah sudi berkongsi pengalaman dan buah fikiran dalam 2 buah slot 'Bersama Mantan kepimpinan KARISMA'. 2 buah slot lain, iaitu slot bersama KIMB yang juga merupakan penaja utama PKN 2009 dan slot Anda Bijak Jauhi Zina turut mengisi perjalanan program.

Majlis sambutan di sebelah malam bermula dengan bacaan alunan ayat-syat suci Al-Qur'an, diikuti ucapan dan gimik perasmian oleh Presiden JIM, Tn Hj Zaid Kamaruddin. Majlis yang dipengerusikan oleh sdr Ahmad Usamah dari K-UIAG ini seterusnya menyaksikan ucapan dasar PKN '09 oleh Sdr Abdullah Omar selaku Presiden KARISMA. Dalam ucapan dasarnya, Akh Presiden telah menyentuh berkenaan konsep 1Ummah, selain beberapa perkara penting yang harus diberi perhatian oleh pimpinan KARISMA di setiap lokaliti demi merealisasikan Fikrah Islam Dominan Alam Kampus (FIDAK) 2015.

Dalam ucapan tersebut juga, Akhuna Presiden telah menerangkan maksud 'Fikrah' sebagai 'corak pemikiran' yang seterusnya membawa erti, FIDAK yang ingin kita capai tidaklah bermakna, seluruh warga kampus menjadi Muslim; akan tetapi setiap warga kampus meyakini Islam mampu menyediakan penyelesaian kepada segala urusan kehidupan. Justeru, para du'at yang memperjuangkan FIDAK (baca: Islam) haruslah terdiri daripada individu-individu yang membawa contoh Islam yang sebenar. Bak kata Akhuna Presiden, kita ingin melahirkan barisan mahasiswa du'at yang sensitif dan kehadapan dalam isu ummah, barisan du'at five star yang sarat dengan soft skills, kumpulan mahasiswa du'at yang akhlaknya seperti Al-Qur'an yang berjalan di tengah-tengah masyarakat seperti berlian, serta individu-individu kader dakwah yang well-rounded, yang bukan hanya mampu berteori sahaja, tetapi mampu melahirkan amal. Oleh itu, wasa'il dakwah yang ada perlulah dimanfaatkan sepenuhnya untuk mencapai perkara-perkara tersebut; dan Tarbiyah - didikan jiwa manusia untuk mentaati Allah SWT semata-mata - perlulah dititik beratkan oleh ahli setiap lokaliti.

Usai ucapan dasar Presiden, para hadirin dibawa menelusuri sejarah ringkas penubuhan KARISMA yang ditubuhkan pada 2 Mei 1999 menerusi tayangan klip-klip multimedia yang menarik. Majlis kemudian meraikan sukarelawan-sukarelawan KARISMA yang telah menyumbang tenaga dalam Misi Kasih Padang Karisma. Misi ini turut melibatkan dua orang ikhwah K-UIAG iaitu Mu'az dan Rabbani. Selain itu, majlis pada malam yang bersejarah itu telah menyaksikan pelancaran buku 'Gerakan Dakwah Pelajar' tulisan Puan Siti Hamisah bt Manan.

26 Disember 2009

Selesai berqiyamullail, solat Subuh dan makan pagi, para hadirin dihidangkan dengan Kuliah Dhuha oleh pak cik Roslan Mohamed. Tajuk tazkirah 'Kita ini Pewaris Apa?' itu dimulakan dengan sebuah analogi yang menyentuh hati (rujuk para perwakilan & pemerhati untuk mengetahui kisahnya). Pak cik Roslan menyentuh bagaimana kita selaku ummat Islam adalah:

1. Pewaris sebuah mujizat agung iaitu Al-Qur'an
2. Pewaris syurga (23:11)
3. Pewaris sebuah tamadun yang gah dan hebat

Suatu persoalan kemudian dilontarkan: Layakkah kita mewarisi semua ini? Adakah kita telah mempersiapkan diri untuk mewarisi, membawa dan mempertahankan warisan-warisan yang seagung dan sehebat ini? Para hadirin seterusnya dibawa merenung ayat Surah Al-A'raf: 169 yang menyebut tentang pewaris-pewaris taurat yang disibukkan dengan dunia.

Tamat Kuliah Dhuha, PKN '09 dimulakan dengan Laporan Setiausaha Agung dan Bendahari KnL sesi 2009. Seterusnya adalah slot perbahasan yang berlangsung dalam 4 sesi, yang telah disempurnakan dengan jayanya oleh para pembahas. Ternyata para pembahas PKN '09 kali ini lebih matang dan mampu mengutarakan isu-isu penting berkaitan ucapan dasar Presiden dengan baik. Selesai perbahasan dan sesi penggulungan, pengerusi majlis mengumukan perletakan jawatan semua Ahli Jawatankuasa KnL 2009, diikuti perlantikan barisan kepimpinan baru KnL 2010. Majlis tamat secara rasminya selepas penyampaian ucapan oleh Presiden KnL sesi 2010, Akh Abdullah Omar Muhamad Fuad.

Berakhir sudah PKN 2009. Semoga pertemuan ikhwah akhawat seluruh Malaysia pada hari tersebut merancakkan lagi gerak kerja da'wah; moga usaha-usaha kita menjadi saksi perlaksanaan amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi.

Mudah-mudahan laporan ini menjadi rujukan yang bermanfaat buat semua.

Terimalah dari kami, ya Rabb.

0 komentar:

Post a Comment