Tuesday, August 30, 2011

Karya SEEK 1432H: Tika Ramadhan Itu [Bahagian Akhir]

(sambungan Bahagian 3...)
 Kesemua mangsa yang berada di dalam kereta tersebut dipercayai baru pulang dari Genting Highlands bagi meraikan sebuah majlis sambutan ulang tahun kawan mereka di sana. Empat mangsa termasuk pemandu kereta tersebut mati di tempat kejadian, manakala seorang cedera parah dan dihantar ke Unit Rawatan Rapi, Hospital Tengku Ampuan Afzan. Waris-waris kepada mangsa diminta menghubungi pihak hospital untuk maklumat lanjut. 

Berikut adalah senarai nama mangsa-mangsa yang meninggal dunia dan yang cedera parah” Menggeletar seluruh tubuh Puan Hashimah apabila pemberita menyebut nama anaknya, Haziqah sebagai mangsa yang cedera parah dan berada dalam Unit Rawatan Rapi hospital tersebut. Dalam keadaan lemah dia cuba juga menggagahkan dirinya untuk menghubungi suaminya yang tidak pulang ke rumah sudah beberapa hari untuk memaklumkan keadaan Haziqah. Panggilan telefonnya tidak disambut, langsung dia hanya menaip mesej kepada suaminya. Puan Hashimah mencapai kunci keretanya dan terus memandu laju menuju ke Hospital Tengku Ampuan Afzan.
* * * * *
 “Ahh…aku tak mahu…aku tak mahu….tolong aku ya Allah…. Pergilah kau, penjahat! Aku tak nak ikut kau!!!” teriak Haziqah apabila tangannya disentap oleh seorang yang sangat hitam legam dan bermuka bengis. Dia mahu menyeret Haziqah ke tempat seolah-olah seperti neraka.
“Kau ingat Allah akan tolong kau???!!! Masa kau hidup dulu, ada kau ingat Allah???!!! Hari ini tiada siapa pun yang dapat tolong kau termasuklah emak dan ayah kau!!!” marah lelaki tadi dengan wajah yang cukup bengis dan mengerikan sambil terus mengheret Haziqah ke neraka tersebut.

“Ya Allah…tolonglah aku….aku tak nak ikut penjahat ni!! aku tak nak pergi ke tempat tu!!! Tempat tu panas!!! Aku tak nak!!! Tak nak!!! Tolong aku ya Allah!!!” jeritannya dan rayuannya langsung tidak mendapat simpati daripada sesiapa.
“Kau jeritlah!!! Jerit puas-puas!!! Panggil semua mak ayah kau! Diorang pun tak kan boleh tolong kau!!!” Lelaki itu terus menyentap tangan Haziqah dan tanpa belas kasihan disebatnya badan Haziqah dengan cemeti beberapa kali.

“Argh!!! Sakitlah!!! Sakit!!! Tolonglah jangan pukul aku, penjahat!!! Tolonglah….,” jerit dan rayu Haziqah. Walaubagaimanapun  lelaki tersebut langsung tidak menghiraukan kesakitan Haziqah, terus sahaja dia mengheret Haziqah dan memukulnya dengan cemeti tersebut setiap kali Haziqah menjerit dan enggan mengikutinya.

Puan Hashimah sedih melihat keadaan anaknya yang masih lagi koma. Terlalu sebak melihat air mata yang mengalir keluar daripada mata Haziqah yang terpejam rapat. Entah apalah yang anaknya sedang alami dan rasai sekarang. Hari ini sudah masuk 28 Ramadhan, anaknya masih lagi tidak sedarkan diri. Sebenarnya kecederaan yang dialami Haziqah sangatlah teruk sehinggakan doktor pernah menyatakan yang Haziqah mungkin tidak dapat bertahan lebih lama. 

Walaubagaimanapun, Puan Hashimah tetap bertegas kepada doktor supaya terus melanjutkan rawatan terhadap Haziqah walaupun pada masa itu hatinya turut ragu-ragu melihat keadaan Haziqah seolah-olahnya tiada harapan lagi untuk dia hidup seperti kata doktor. Menambahkan lagi kekesalannya, suaminya sehingga kini masih  tidak datang melawat Haziqah di hospital. Ramadhan pada kali ini dan sambutan Syawal tidak lama lagi pasti sangat memilukan hati.

Tiba-tiba Puan Hashimah tersedar kembali sambil menyoal hatinya, “Bukankah memang sudah bertahun-tahun lamanya mereka sekeluarga tidak merasai kemeriahan dan kegembiraan Hari Raya semenjak dia dan suaminya ber’perang’?? Mungkin ini pengajaran daripada Allah SWT buat hamba-hambanya yang tak bersyukur seperti diriku dan suami…Terlalu asyik dengan kekayaan hingga mengabaikan emosi anak ini, terlalu asyik bergaduh sehingga tak punya masa bersama dengan anak ini, inilah akibatnya… baru sekarang rasa betapa beharganya Haziqah buat diriku……” tidak semena-mena air matanya mengalir mengenangkan dosa-dosanya kepada Allah dan kepada anaknya. Perasaan insaf menyelubungi hatinya.
* * * * *
1 Disember 2005, 10 pagi.
“Emak…..,” Haziqah memanggil Puan Hashimah dalam nada suara yang sangat lemah sambil tangannya menggenggam lemah tangan ibunya yang memang sedia menggenggam tangan Haziqah. “Iqah…Iqah anakku…,’ Puan Hashimah terjaga dari lenanya. “Doktor! doktor! Alhamdulillah Iqah dah sedar!” Puan Hashimah memanggil doktor.
* * * * *
 “Ummi….ummi….” Syua’ib memanggil isterinya yang dilihatnya dari tadi termenung. Dia percaya isterinya itu bukan menonton televisyen tetapi televisyen itu yang ditenungnya. Entah apa dalam fikiran isterinya semenjak satu jam tadi. Pulang dari terawih di masjid berdekatan rumah tadi, Syua’ib dan Haziqah menonton televisyen sambil minum teh panas yang Haziqah sediakan. Melihat tiada respon, digoyangkan sikit bahu isterinya itu.

“Ye, abi..kenapa?” Haziqah seolah-olah baru tersedar dari alam lain. “Erm,apa ummi ni..tengok tv tembus macam tu..tak berkerdip-kerdip mata…dah macam kena pukau abi tengok…” kata Syua’ib sambil gelak kecil.“Erm…tak de apalah abi…Cuma rasa syukur sangat Allah bagi peluang hidup sampai saat ni. Dapat merasa Ramadhan lagi…Baiknyalah Allah pada ummi walaupun ummi ni banyak sangat dosa…” tutur Haziqah sambil matanya merenung ke bawah. “Dan ummi rasa syukur sangat, anak kita Amirah anak yang baik, tak banyak masalah sehingga kini…moga-moga dia terus jadi anak yang solehah… Ummi berazam Amirah mesti dididik dengan baik, diberi kasih-sayang, ummi tak nak sesekali mengabaikan dia dan ummi akan pastikan dia berkawan dengan kawan-kawan yang baik.” Sambung Haziqah sambil mengetap bibirnya di akhir bicaranya.

“Abi memang perasan, ummi ni termenung je sejak kita di Hotel Morib hari tu. Dan memang setiap kali Ramadhan ummi akan jadi begini. Banyak termenung ingatkan kisah tragedi kemalangan yang menimpa ummi dan arwah kawan-kawan. Erm, insyaAllah ummi…abi kan ada bersama-sama ummi untuk menjaga dan mendidik Amirah. Sesungguhnya tragedi itu benar-benar memberi pengalaman dan pengajaran yang baik buat ummi.” Kata Syua’ib memberi semangat kepada Haziqah.

Haziqah membalas kata-kata Syua’ib tadi dengan senyuman.“Abi…tahun ni giliran rumah ummi kan?” tanya Haziqah. “Ha’a…abi tak lupa..jangan risau… Amirah pun dah lama tak balik kampung jumpa Nenek Shima,” balas Syua’ib. “Terima kasih…,” ucap Haziqah. “Untuk apa?” tanya Syua’ib tidak mengerti. “Untuk segalanya…,” balas Haziqah sambil tersenyum kepada Syua’ib.
“Ya Allah…Ramadhan itu memberi satu pengajaran yang hebat kepada diriku. Andai Engkau ambil nyawa aku ketika itu, entah bagaimana keadaan matiku ketika itu? Sungguh! Aku takut bila mengenangnya semula. Betapa Maha Pengasih dan Maha Penyayangnya Engkau terhadapku kerana mengizinkanku untuk terus bernafas hingga kini…hingga Ramadhan ini…. Aku mohon kepadaMu ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku, dan juga dosa-dosa arwah kawanku yang telah Kau cabut nyawanya pada waktu tersebut. Amin….” Haziqah berdoa dalam hatinya. 

0 komentar:

Post a Comment