Monday, May 16, 2011

Selamat Hari Guru...

Untuk semua guru, cikgu, ustaz/ustazah, mua'lim/mua'limah, pensyarah dan semua tenaga pengajar....terimalah sajak 'Guru oh Guru'



BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)


Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG

Daripada Abu Umamah al -Bahili, Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah, malaikat dan ahli (penduduk) langit dan bumi; hinggakan semut di dalam lubang dan juga ikan paus ( meliputi seluruh haiwan di darat dan di laut ) mendoakan kebaikan ke atas orang yang mengajar perkara yang baik kepada manusia". (Riwayat al-Tirmizi)

Kami warga KARISMA Daerah Gombak mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru, cikgu, ustaz/ustazah, mua'lim/mua'limah, pensyarah dan tenaga pengajar yang telah betungkus lumus dengan penuh sabar dan penat lelah mereka korbankan ketika mendidik kami menjadi apa yang telah kami kecapi hari ini. Pengorbananmu tidak terbalas, namun kami sangat menghargainya. Jasamu akan dikenang sepanjang hayat. Tetaplah ikhlas dan tabah memikul amanah ini kerana setiap yang engkau berikan akan memberikan kebaikan kepadamu kembali.

1 comment: