Alhamdulillah hujung minggu lepas para du'at kawasan Gombak selamat bermu'tamar, berdaurah dan beriadah di sekitar Gombak sempena minggu tarbiyah kawasan pada 17 dan 18 Januari lepas. Untuk makluman semua, pimpinan KARISMA kawasan telah meluluskan resolusi untuk menjadikan minggu ketiga setiap bulan sebagai minggu tarbiyyah kawasan Gombak yang mana dalam minggu tarbiyyah ini akan berlangsungnya daurah, mabit dan riadhah khas untuk para murabbi dan mutarabbi di kawasan Gombak.
.
Mu'tamar yang pertama kali ini telah dianjurkan oleh Dzilal Consultancy yang menguruskan perjalanan tarbiyyah di kawasan Gombak yang mana Ekokid training centre Sungai Pisang dijadikan kem tarbiyyah yang pertama ini. Mu'tamar yang melibatkan kira-kira 100 nuqaba' level 00 hingga level 03 ini bermula pada pagi Sabtu 17 Januari ini dimulakan dengan pengisian oleh Ust Tajol Zakaria dari Time Training and Services (TTS) Serdang yang menyampaikan tajuk Dakwah dan Tarbiyyah: Keunikan Manhaj Perubahan Kita. Selepas pengisian oleh Ust. Tajol, para nuqaba' dipecahkan kepada level masing-masing untuk diberikan penerangan berkaitan modul tarbiyyah masing-masing.
.
Pada sebelah petangnya pula, para ikhwah dan akhwat disajikan dengan daurah bertajuk Manhaj Da'wah yang disampaikan oleh Ust Zubir, Pengetua SRI Al-Amin. Malamnya pula, ikhwah-ikhwah yang mantap bergerak semula ke Ekokid Training Centre bagi mengikuti Malam Bina Iman Dan Tarbiyyah (MABIT). Aktiviti malam itu dimulakan dengan ceramah perdana yang bertajuk At-Taqwa yang disampaikan oleh Ust Muhaimin yang juga dari TTS Serdang. Dini hari pagi Ahad di Ekokid kembali hening dengan tahajjud dan alunan ayat-ayat suci Al-Quran yang diakhiri dengan zikir ma'thurat kira-kira jam 7.30 pagi Ahad itu.
.
Kira-kira jam 9.00 pagi, tasik UIAM berhampiran Female Sport Complex menjadi saksi keakraban ikhwah-ikhwah yang mengikuti tarbiyyah di kawasan Gombak. Ikhwah-ikhwah telah memilih sukan kayak sebagai salah satu cara mengikat tali ukhuwwah yang terjalin selama ini. Aksi-aksi nakal sesama ikhwah dapat dilihat antara mereka apabila ada antara mereka yang menyimbah air tasik sesama sendiri sehinggakan ada antara mereka yang terjatuh kedalam tasik apabila kayak mula terbalik.
.
Walaupun penat, letih dan basah pada pagi Ahad itu, ikhwah-ikhwah masih lagi mampu mengukirkan senyuman kepuasan dapat bersama menimba ilmu tarbiyyah dan berukhuwwah sesama teman sefikrah.Moga segala amalan pada minggu tarbiyyah kali ini diredhai dan dirahmati Allah SWT.
.
.
Wallahua'lam...